Tentang Aku…

Ketemu Bob Tutupoly di Kota Kinabalu Sabah

Ketemu Bob Tutupoly di Kota Kinabalu Sabah

Menulis memang sudah menjadi semacam asam garam hidupku. Aku masih menyimpan baik sebuah antologi ‘Nyanyi Sunyi‘ karya penyair agung, Amir Hamzah, yang dihadiahkan kepadaku ketika berumur 12 tahun. Malangnya, aku tidak ingat langsung siapa yang menghadiahkannya, dan mengapa beliau berbuat demikian. Mungkin ianya hadiah dari Ayahku – kerana (mungkin) beliau ingin mengalihkan kegemaranku yang saat itu amat suka menyanyi…, maka antologi tersebut diharap dapat membuat aku lebih minat menulis dan berpuisi.

Sheikh Mohammad bin Sheikh Mamud

Sheikh Mohammad bin Sheikh Mamud

(Ayahku telah meninggal pada tahun 1988 setelah merengkok di Pusat Tahanan Politik di- Jerudong, NBD, sejak tahun 1974. Tetapi, aku tidak akan pernah membubuh perkataan ‘al-marhum’ atau ‘arwah’ kepada beliau kerana sesungguhnya aku tidak pernah merasakan ‘kematian’ beliau. Yang kutahu pasti, hanya jasad beliau yang terkubur, tetapi ‘roh’ beliau tetap ada untuk bersama kami.)

Bila belajar membuat puisi tanpa guru, hasilnya memanglah puisi-puisi ciplakan yang dianyambenen dan  ada pula yang ditokok-tambah di- sana-sini,  asal menimbulkan sedikit kelainan dari puisi asal. Kecurangan tersebut aku lakukan iseng-iseng sahaja, hanya untuk kepuasan diri makanya hasil kegiatan songsang tersebut hanya tercatit di lembaran-lembaran antologi itu sendiri.

Aku memilih untuk mengikuti jurusan sastera se waktu di Tingkatan Empat. Aku merasa beruntung kerana buku kajian untuk sajakketikam itu ialah antologi Suara Tujuh yang mengikut Datuk Kemala sebagai salah seorang penulisnya, adalah menghairankan, kerana antologi tersebut sebetulnya adalah himpunan sajak-sajak protes. Beliau menambah, mungkin kerana itulah banyak puisi yang dihasilkan penyair Brunei ‘bersemangat’.

Namun demikan, almarhum Datuk Usman Awang adalah penyair yang paling kuhormati. Sajak-sajak almarhum bagiku amat mudah dicerna dan dihayati. Bahasa puitis almarhum tidak terlalu bombastik dan tidak tergolong dalam golongan penyajak kabur. Aku terkilan kerana tidak sempat berguru dengan almarhum biarpun pada tahun 1981, tiket penerbanganku untuk ke Kuala Lumpur ketika itu sudah ada di tangan. Namu, dua hari sebelum bertolak aku  mendapat satu panggilan telefon dari abang sepupuku, almarhum Dato Prof. Dr. Mahmud Saedon, menasihatkan aku supaya mengundur tarikh keberangkatanku ke enam bulan kemudian, apabila ITM memulakan pengambilan siswa baru. Almarhum abang sepupuku menyatakan kekhuatiran beliau tentang wang 5 ribu yang akan kubawa bersama akan habis sebelum semester bermula. Saat itu aku benar-benar terkedu dan langsung tidak berkesempatan untuk menerangkan alasan mengapa aku perlu berangkat awal ke Kuala Lumpur.

Tiga bulan kemudian, aku mendapat pelawaan untuk memulakan kerjaya dengan Syarikat Minyak Brunei Shell, di Seria. Luka hatiku menerima panggilan telefon almarhum abang sepupuku 1981 itu sesungguhnya sampai kini tidak pernah terubat. Kadang-kadang terlintas pertanyaan, kalaulah aku sampai mengambil diploma Perhubungan Awam saat itu, bagaimana pula keadaan hidupku hari ini? Cita-cita tersebut telah terkubur bersama terkuburnya harapanku untuk berguru dengan almarhum Datuk Usman Awang yang sampai sekarang pun masih sangat-sangat saya kagumi.

Almarhum Datuk Usman Awang

Almarhum Datuk Usman Awang

Al-Fatihah…

Hasil karyaku hanya tersiar di penerbitan kerajaan (majalah Bahana, DBP) setelah 30 tahun menulis. Pada saat-saat awal penulisan, majalah sekolah juga enggan menyiarkan hasil penulisanku. Aku telah terkena badi ‘Kehilangan Nama‘ seperti yang termuat di dalam antologi Suara Tujuh yang aku sebutkan tadi. Sajak pertamaku yang berhasil terbit adalah berjudul  “Pecah dan Perintah‘ dikeluaran bulan Mei, 2001. Ironisnya, sajak tersebut kemudiannya disepakatkan untuk menerima anugerah Kreatif Bahana – DBP/Brunei Shell pada tahun yang sama. Alhamdulillah… Dalam hal ini, aku perlu mengucapkan jutaan terima kasih kepada editor BAHANA saat itu, Pengiran Haji Aji dan Pemangku Pengarah DBP,

Mantan Pengarah DBP (Brunei), Cikgu Hj Hakim

Mantan Pengarah DBP (Brunei), Cikgu Hj Hakim

cikgu Haji Hakim bin Haji Mohd. Yassin, dua orang yang bertanggungjawab membuka ruang untuk aku turut mnceriakan alam penulisan di Negara Brunei Darussalam.

Zefri Ariff (ZA Brunei)

Zefri Ariff (ZA Brunei)

Kegiatan bahasa, sastera dan budayaku seterusnya mula berkembang sedikit demi sedikit sejak dari itu. Aku dipelawa oleh sdra. Zefri Ariff (ZA BRunei) untuk menemani beliau (dan Adi Swara) pergi memenuhi undangan ke The 1st. International Poetry Festival, di Medan. Mulai dari itu aku tidak menoleh ke belakang lagi dan terus maju setapak demi setapak, biarpun perlahan, tetapi pasti…

Bersama Adi Swara dan Datuk Dr. Ibrahim Ghafar di Taman Budaya, Medan

Bersama Adi Swara dan Datuk Dr. Ibrahim Ghafar di Taman Budaya, Medan

Dalam kembara sasteraku, alhamdulillah, aku dapat juga bertemu dengan 2 dari 7  penyumbang antologi Suara Tujuh yang ‘kami’ kuliti semasa di Tingkatan Empat dan Lima akhir tahun 1970′an dulu. Antara dua penyair tersohor tersebut ialah Datuk Baha Zain dan Datuk Kemala. Untuk Datuk berdua ini, percayalah bahawa saya adalah anak didik Datuk…

Sampai jumpa lagi…


2 Responses to this post.

  1. Tahniah Uncle…satu pengajaran besar yang dapat Izah kutip daripada autobiografi ini. Izah melihat coretan Uncle ini lebih kepada perlunya kita sebagai seorang insan itu harus berterima kasih kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada insan yang kita hormati dan kita sanjungi. Benar kata Uncle, pemergian sorang ayah bukan bermaksud itu satu kematian, tapi rohnya masih bersama kita walaupun seribu tahun lagi. Itu juga yang Izah rasakan kini. Izah merasakan Uncle benar-benar seorang yang tabah dan tidak tercatat perkataan erti berputus asa dalam hidup Uncle. Uncle dapat bersabar walaupun selepas 30 menulis, barulah karya Uncle diterbitkan. Itu merupakan satu cabaran besar bagi seorang penulis. Sekurang-kurangnya Izah dapat belajar daripada Uncle bagaimana ingin menjadi seorang yang berjaya seperti Uncle. TAHNIAH UNCLE…SEMOGA DIRIMU BOLEH KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT.

    Reply

  2. Amin ya raabal alamin… Terima kasih Izah :)

    Reply

Respond to this post