A Devil Of A State

menikmati tulisan penulis anarkis

tentang Baginda si Malai Suntingan

lelaki terkaya di dunia suatu tempoh dulu. Demikian katamu

menilai dan menghukum tanpa rasa malu

konon ingin jadi dewa penyelamat

namun lidah dan mulutmu berbau laknat!

.

The Richest Man In The World, demikian katamu

menimbun harta semahu hatinya

deretan kereta ratusan buah jumlahnya

hotel dan apartment mewah bertabur di mana-mana

koleksi lukisan agung yang tak ternilai banyaknya

dan perempuan-perempuan itu…

.

terlepas dari cengkamanmu 1984 dulu

kami sesegandung di belakang si Emas Tempawan

bukan kerana sempurnanya Baginda

pun mengharap limpah anugerah

kerana kami rakyat bermaruah

yang tak rela bertumpah darah.

.

perhatianmu, simpanlah untuk para pemimpin kamu

bagi Baginda Ratu, Putera dan bakal menantu

PM dan anaknya yang mabuk di bawah umur

ahli dewan yang tergiur punggung sesama jenis

serta anak-anak lahir luar nikah

morfin dan marijuana yang mencemar udaramu!

.

kami memang tidak akan pernah terus berlari

cara kami, cara murni umat Melayu

yang beradab dan pemalu. Lalu kataku:

biarlah…,  biarlah kami berjalan selangkah demi selangkah

mengisi kemerdekaan yang lama tertangguh

berparlimen dan tetap terus berdatang sembah!

Telanai, 8.26 pagi, 29 Julai 2002

Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja.

Slogan yang ringkas ini sebetulnya sangat luas pengertiannya. Ia bergantung kepada cita-cita dan pengharapan, keselamatan dan keselesaan rakyat terbanyak, yang turut mempunyai peranan di dalam sesebuah negara yang memilih demokrasi sebagai nilai murni teras kepimpinan dan pentadbirannya. Untuk itu, bagi kita di negara Brunei Darussalam, slogan ini amat bertepatan pula dengan ideologi Melayu Islam Beraja (MIB), yang diharap akan dianuti dan menjadi pedoman hingga ke akhir zaman, insyallah.

Memang mungkin sudah banyak diperbincangkan topik ini, atau hal-hal lain yang bersangkutan dengannya, dari perspeksi atau sudut yang berbeza, yang setentunya berpunca dari situasi yang berlainan pula. Maka hari ini, sebagai permulaan, saya cuba untuk  mengungkapkannya dari satu sudut yang pasti akan terasa kelainannya, iaitu berlatar-belakangkan beberapa peristiwa hitam yang terpalit di dalam sejarah pentadbiran beberapa buah negara jiran. Seperti kata Hang Tuah, “Tidak hilang Melayu di dunia.” Namun kenyataannya, di negeri Melaka, bumi bersejarah di mana kata-kata itu terungkap, kini sudah pun kehilangan raja. Melayu itu bangsa bertuan (raja), maka tanpa raja, hilanglah sudah identiti Melayu yang amat penting itu. Tanpa institusi raja sebagai simbol kesatuan kita, maka, ketuanan Melayu itu sendiri akan goyah dan mudah digugat.

Dalam konteks raja dan rakyat yang kita bincangkan ini, raja adalah ibarat payung, yang bersedia menaungi rakyat dari panas terik mentari serta sanggup melindungi mereka dari hujan ribut yang menggila. Demikianlah betapa beratnya peranan seorang raja terhadap keselurohan rakyat yang dipimpinnya. Raja adalah Ulil Amri atau Al-Mukmin, maka segala titah perintah raja, pada ketika tertentu akan diterima pakai sebagai hukum atau undang-undang.

Dan rakyat pula adalah lambang kekukuhan dan kesanimbungan institusi Beraja. Tanpa rakyat, tiada raja. Titik. Selanjutnya, rakyat di- abad ke dua puluh satu ini bukanlah dari warisan Hang Tuah yang membuta tuli tahap kesetiaannya kepada raja. Rakyat zaman ini adalah jenis rakyat yang bermaruah, klon Hang Jebat yang gagah perkasa, berani kerana benar, yang membujur lalu melintang patah. Untuk itu, bagi mempastikan agar ‘keruntuhan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka’ tidak ketempiasan kepada kita, maka sudah semacam termaktub sebuah perjanjian bahawa raja tidak boleh zalim dan rakyat  pula tidak boleh derhaka.

Namun demikian, sebagai rakyat yang sentiasa berpegang kepada tali Allah, kita harus berani mengakui bahawa hubungan pertalian tersebut tidak kukuh, terasa rapuh, dan mungkin menunggu saat untuk terburai. Oleh yang demikian, bagi mempastikan hubungan tersebut tidak terburai dalam usia sesingkat ini, maka usaha gigih dan ikhlas dari kalangan elit yang terdiri dari pegawai-pegawai adat istiadat Diraja dan pentadbiran negara serta kerajaan haruslah dilipat-gandakan. Kita selalu berharap dan akan senantiasa mempastikan, bahawa keutuhan pertalian dan hubungan baik antara elit istana dan rakyat marhaen, akan dapat dipertahankan hingga ke akhir zaman.

Seperti yang disebutkan awal-awal tadi, slogan Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja ini,  menuntut pertalian yang erat di antara raja dan rakyat, bagi mempastikan instituisi Diraja akan dapat dipertahankan sampai bila-bila. Dan sebagai imbal-balik, institusi Diraja itu nanti pula, akan dapat memainkan peranannya sebagai payung dan penaung untuk keseluruhan rakyat jelata. Bagi memudahkan perbincangan, saya rasa adalah lebih baik jika hubung-kait slogan tersebut, kita pecahkan kepada beberapa bahagian, iaitu:

  1. 1. Sosial
  2. 2. Politik
  3. 3. Keselamatan
  4. 4. Agama

  1. 1. Sosial

Dari segi sosial, memang diakui dan memang sudah terbukti betapa raja yang kita junjung memang begitu dekat dengan kehidupan seharian kita. Kecenderungan raja kita untuk bercemar duli, dalam menunaikan kewajiban solat fardhu Jumaat umpamanya, dapat dijadikan bukti betapa raja kita berjiwa rakyat. Wajah baginda yang sentiasa mengukir senyuman apabila berkesempatan untuk berkumpul bersama rakyat jelata, sambil melayani karenah mereka yang berebut-rebut untuk bersalaman dan menciumi tangan baginda. Keadaan cuaca pada ketika tersebut yang pada kebiasaannya panas membahang, tidak pernah menjadi penghalang bagi rakyat untuk berhimpit-himpit dan menunggu dengan sabar, peluang untuk turut berziarah. Demi untuk raja yang amat di sayangi, maka segala bentuk kesulitan di dalam keadaan berasak-asak tersebut tidak pernah melenturkan semangat mereka untuk turut memandangi wajah yang berdaulat, walau sedetik cuma.

Demikian pula halnya dengan kedua-dua permaisuri baginda yang sentiasa bersedia untuk bercemar duli, menghadirkan diri memenuhi ‘junjung’ rakyat untuk membuka rasmi satu-satu majlis, umpamanya. Dan kesediaan ini dilaratkan pula kepada putera-putera serta puteri-puteri baginda, sehinggakan, orang kebanyakan turut merasa hampir dengan institusi Diraja itu tadi.

Sekilas kenangan kita pada sukan Asia Tenggara ke sembilan belas, di- akhir abad yang lalu, di Brunei Darussalam, bilamana seorang putera, dan dua orang puteri Diraja turut serta mengepalai perarakan lintas lalu atlit dan pasukan kebanggaan negara.

  1. 2. Politik

Dari segi politik pula, ternyata raja kita memainkan peranan yang amat besar di sini. Baginda bukan hanya dijadikan sebagai lambang keagungan kesultanan Melayu, malah lebih berperanan sebagai khalifah yang memegang amanah daripada Allah untuk menjadi pemimpin yang benar, adil dan bertanggung-jawab terhadap rakyat jelata di bawah jajahan takluknya. Dan sebagai pemegang amanah, Ulil Amri tadi bertanggung-jawab terhadap kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya, maka raja itulah juga yang akan di- panggil menghadapi Tuhan, Allah azza waj’jalla, di akhirat nanti. Oleh sebab itu, maka dalam usaha kita untuk membantu mempermudahkan raja  meniti jambatan Sirat dengan selamat, maka rakyat wajiblah menjadikan Islam sebagai ‘ad’den’ atau cara hidup, dalam konteks yang sebenar-benarnya.

Maka, oleh yang demikian, ideologi MIB memainkan peranan yang amat penting di- dalam perbicaraan terhadap slogan Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja ini. Dan sistem politik  serta corak kepimpinan kita, yang pada sesetengah orang, adalah menjurus kepada corak autokratik, iaitu, kuasa penuh adalah terletak pada raja yang memerintah. Dan sistem autokratik ini pada dasarnya tidak digemari, kerana ditakuti sistem tersebut tidak akan pernah menjanjikan perubahan drastik pada dasar dan  pentadbiran kerajaan. Dari satu sudut yang lain pula, bila membincangkan ‘sistem’ tersebut, terdapat pula nada-nada sumbang yang kononnya, zaman di mana kita berada di- bawah tindak-tanduk dan naungan (jajahan?) pihak Inggeris, adalah lebih nyaman dan lebih menjanjikan keselesaan.

Namun apakah memang benar begitu kenyataannya?

Kita sememangnya tidak akan pernah lupa akan keluhuran dan kemuliaan demokrasi. Kerana umpama seekor burung, fitrahnya, tidak seekor pun yang rela untuk dikurung, biarpun di dalam sangkar emas, bertatah intan permata. Sebagai manusia, kita memang tidak mahu dikongkong, dan ingin sentiasa lepas bebas seperti burung tadi. Pada kebanyakan rakyat, kebebasan itu bererti memilih kerajaan dan pemimpin sendiri. Dalam hal ini, kuasa veto (mutlak) raja untuk melantik para menteri, mengikut kehendak murni demokrasi, hendaklah dimansuhkan.

Kita cuba pusatkan minda kita sambil melawat beberapa negara jiran tetangga. Saya ingin membawa awda ke negara Indonesia yang terbagi kepada ribuan pulau, serta jumlah penduduk yang melebihi dua ratus juta orang. Sebuah negara kurang daripada lima tahun yang lalu masih berdiri gagah dan megah di bawah pemerintahan tentera dan dikepalai oleh Presiden Suharto. Gaya kepimpinan kuku besi Suharto yang semakin hari semakin menimbulkan kebencian rakyat, lalu secara perlahan, teratur dan terarah, rakyat keluar beramai-ramai melaungkan reformasi, menuntut pemerintahan demokratik. Rakyat yang seperti gunung berapi yang menahan lava lagaknya, yang selama ini cuma menunggu saat untuk memuntahkan laharnya. Memang mereka berhasil dengan laungan reformasi dan tuntutan demokrasi mereka – sambil meruntuhkan sebuah pancasila. Itulah nilai tinggi yang perlu dan harus dibayar oleh tuntutan reformasi mereka.

Demikian pula halnya dengan sebuah negara maju yang lain, yang merasa amat berbangga dengan Proton Saga dan menara berkembarnya, Malaysia. Untuk itu, mari kita berjalan-jalan menyusuri liku-liku perjalanan demokrasi mereka.

Demokrasi yang diamalkan di Malaysia turut menyumbang kepada kehancuran sebuah peradaban, yang selama ini berbangga dengan ketuanan Melayu. Kalau lapan belas tahun dulu demokrasi  yang mengangkat Mahathir ke puncak kekuasaan, maka demokrasi jugalah yang di harapkan dapat untuk menjatuhkan beliau, di dalam percaturan politik yang sudah semakin songsang perjalanannya. Demokrasi juga telah membuat fungsi Raja dan zaman kegemilangan kesultanan Melayu di Malaysia kini hanya menjadi sebagai bahan sejarah, serta hanya layak untuk dihumbankan ke dalam muzium. Demokrasi pula pada waktu yang sama telah membuat sesetengah ulama dari parti kerajaan alternatif, hilang pertimbangan dan lupa pada nilai-nilai murni budaya Melayu yang lemah lembut, bersopan santun dan pemalu. Demokrasi jugalah yang membuat Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, membandingkan PM (P***M**) mereka sebagai Kepala Taik yang perlu untuk dimuntahkan keluar, di dalam novel sensasi  Shit beliau. Dan demokrasi juga yang telah membuat mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pisahkan secara zalim dari kasih-sayang isteri serta anak-anak beliau yang tercinta.

Secara ringkasnya, demokrasi akan membuat kita mempunyai hak penuh untuk memilih individu dari kalangan orang-orang politik (yang setentunya punya duit), untuk menjadi pemimpin kita. Demokrasi pasti akan membuatkan kita berpesta pilihanraya setiap tiga, empat atau lima tahun sekali, bergantung kepada penggal pilihanraya yang  telah di- tetapkan. Maka oleh yang demikian, tidak mustahil juga perbalahan, persengketaan dan permusuhan baru akan timbul, setiap ada pemilihan pemimpin tersebut. Kita tentu dapat belajar dari pengalaman dua negara yang disebutkan. Oleh kerana itu, biarlah kita tetap saja hampir kepada Raja, Ulil Amri yang telah diamanahkan Allah sebagai khalifah kita. Dan yang lebih penting, bukan kemuliaan demokrasi itu yang kita belakangkan, tetapi yang utama, adalah kesejahteraan dan keselamatan hidup masyarakat majmuk di dalam negara.

  1. 3. Keselamatan

Apabila Raja begitu hampir kepada rakyat, maka soal keselamatan adalah merupakan agenda terpenting di dalam pentadbiran kerajaan, kerana memang itulah yang dituntut daripada slogan Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja, jika kita mahu melihat keberhasilannya. Keselamatan yang dimaksudkan mencakupi keseluruhan aspek kehidupan berkeluarga dan bernegara. Yang penting, Raja harus mempastikan bahawa rakyat akan sentiasa ada makanan yang dapat mengenyangkan perut mereka. Izinkan saya mengingatkan awda semua kepada sebuah pantun dua kerat yang berbunyi:

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut, senang hati.

Mungkin ada dikalangan awda yang tertanya-tanya, hubung-kait perut yang kenyang dengan  isu keselamatan yang sedang kita bicarakan? Jawabnya tentulah banyak.

Seperti halnya dengan ular sawa, mahupun binatang-binatang buas yang lain, fitrahnya akan tidur apabila di dalam keadaan perut yang kenyang. Demikianlah pula halnya dengan kita, manusia. Perut yang kenyang akan menjurus kita untuk bersuka-suka, menonton tv atau mendengar radio, umpamanya. Tapi, cuba bayangkan bagi mereka yang tidak punya apa-apa untuk dimakan dan berkeadaan sangat lapar, sedangkan wang juga tidak punya untuk membeli makanan bagi dijamu isteri dan mungkin anak-anak tercinta. Bila perut lapar tadi cuma perut sendiri, mungkin orang itu masih dapat bertahan lagi. Tapi, apabila anak-anak kecil yang tidak akan pernah mengerti keadaan perit itu turut merasa kepedihannya, tangisan kelaparan mereka tentu akan sedikit sebanyak membantu menimbulkan imaginasi bagi kemungkinan yang menakutkan, iaitu mencuri demi untuk mendapatkan sesuap nasi. Keadaan begini jika dibiarkan berlaku pasti akan melarat, dan jika itu terjadi, sudah setentunyalah tidak akan menjanjikan kita keamanan dan keselamatan lagi. Dan si pencuri, bila tertangkap, boleh saja nekad untuk menjadi pembunuh, dalam usaha mereka untuk mengelakkan diri dari berhasil ditangkap. Sudah terdapat bukti jelas bagi kejadian-kejadian buruk begitu.

  1. 4. Agama

Maka, agama juga memainkan peranan yang amat penting di dalam hal ini. Kita menuntut agar agama dijadikan sebagai ad’den, atau sebagai satu cara hidup, bagi mempastikan kesejahteraan, dan keselamatan seluroh ummah. Dan dalam konteks slogan Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja ini pula, kita sememangnya diwajibkan taat kepada pemerintah, Ulil Amri yang diangkat sebagai khalifah oleh Allah, Tuhan semesta alam. Agama akan dijadikan sebagai sempadan bagi membezakan antara nilai-nilai murni bernegara dan bermasyarakat, dengan nilai-nilai yang dapat meruntuhkan ketamadunan umat manusia secara keseluruhannya.

Oleh yang demikian, slogan tersebut amat bertepatan sekali dengan ideologi MIB, kerana sesungguhnya, kemerdekaan kita walau agak terlambat sedikit dicapai, dari satu hal yang lain, kita sebetulnya beruntung kerana dapat memikirkan dasar-dasar pemerintahan yang memihak kepada ketuanan Melayu. Dan kita pasti akan sentiasa menjaga keutuhan sistem Beraja kita yang sudah terkenal zaman berzaman. Saya cukup yakin bahawa, Raja kita setentunyalah turut berasa sedih melihat kepada nasib orang-orang Melayu di Singapura yang sudah menjadi kaum minoriti kini. Dan, begitu juga pula halnya dengan kesultanan raja-raja di negeri-negeri di Malaysia, yang sudah hilang fungsi asal keujudan mereka.

Demikianlah, betapa kita sesungguhnya di Negara Brunei Darussalam ini  patut bermunajat, menunjukkan rasa syukur  dengan apa yang terhidang untuk kita di bumi permai ini. Memang dalam apa hal pun, mustahil bagi kita untuk mendapat kesempurnaan. Namun demikian, sebagai rakyat yang bermaruah, kita tidak seharusnya membiarkan Ulil Amri kita bersendirian menanggung segala permasaalahan. Ulil Amri kita juga insan biasa seperti kita, yang punya perasaan takut menghadapi Allah di hari kemudian nanti.

Maka, oleh yang demikian, sempena ulangtahun kemerdekaan kita yang ke lapan belas tahun ini, mari kita cuba untuk mengenali jati diri. Tanyalah diri kita sendiri: siapa kita kelmarin dan siapa  pula kita pada  hari ini.? Dan mudah-mudahan, dengan bermunajat kepada Allah, kita akan dapat menyediakan asas kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cicit kita di masa hadapan. Sesungguhnya kesejahteraan kehidupan mereka di masa hadapan, ada pada tangan kita sekarang, samada kita ingin menyedarinya atau pun tidak. Anak-anak itu adalah amanah Allah untuk kita, dan saya rasa hal ini memang sudah diketahui ramai. Namun, tahu saja tidak lengkap, kalau kita asyik dengan sikap malas tah kuinggau dan tetap berpegang kepada pepatah ulat di batu lagi boleh hidup. Memang, ulat di batu boleh makan dan terus hidup. Tapi, kalau ulat tersebut cuma diam kaku tanpa berbuat apa-apa untuk mencoba mendapatkan rezekinya,  maka lambat laun ulat tersebut akan tumpas dan akhirnya mati kekeringan. Tanya nawaitu kita dalam hidup, setiap kali melihat bayangan wajah di cermin setiap pagi. Dan mudah-mudahan kita akan menjadi manusia yang lebih insaf dan sentiasa merasa akan kekurangan diri. Menginsafi kekurangan sebetulnya adalah modal untuk menambah…

Rumusan:

Kita sudah sedia maklum, apa erti autokratik. Kita juga tahu, kalau-kalau demokrasi itu akan membuat kita lebih bebas untuk mengatur arah tujuan dan langkah kita seterusnya untuk turut membangun negara tercinta. Di dalam hal ini, semua pihak harus dapat duduk semeja, mencari ‘kekurangan diri’, seperti yang dimaksudkan tadi.

Mungkin Kebawah Duli patut bertanya diri Baginda sendiri, apakah benar tahap kesetiaan rakyat ketika ini lahir dari hati yang suci murni? Apakah benar segala sanjungan yang diterima itu dapat mengangkat mertabat Baginda di mata Allah azza waj’jalla sebagai Ulil Amri di- kemudian hari nanti? Dan apakah Adil Laila Bahagia memang sudah Baginda perlakukan sebaik-baiknya demi untuk kesejahteraan rakyat jelata?

Lalu, bagaimana pula dengan para pembantu Baginda yang asyik angguk mencecah dada? Apakah memang Baginda dihormati, atau cuma ditakuti? Dan pertanyaan yang terpenting: apakah rakyat Baginda hidup sejahtera, ampit menikmati kemakmuran negara yang melimpah-ruah ?

Lalu, kita sebagai rakyat marhaen, bagaimana pula?

Apa  sajakah yang kita sering bicarakan di bilik-bilik tertutup, yang diharapkan jauh dari telinga-telinga spy kerajaan? Apa pengertian MIB kepada kita sebenarnya? Apakah ianya, Mari Ikut Beta? Mufti Ikut Berlayar? Meeting Inda Beranti? Meeting Inda Berabis? Makan Inda Berlauk? Atau mungkin, Mati Inda Beriman?

Soalnya, mengapakah kita harus mempunyai pendapat-pendapat yang berbeza di dalam hal ini? Apakah kerana memang benar kita sekarang berada di dalam sebuah negara state of fear? Apa memang benarkah juga bahawa di negara Darussalam ini, meja dan kerusi ada telinga? Sungguh bukan main…

Pendapat saya secara peribadi, tanpa merujuk kepada sesiapa pun juga adalah sedarhana. Kita terlalu takut pada bayang-bayang sendiri dan tidak ada kepercayaan diri sebetulnya. Kita jenis dedalu yang ingin maju sendiri, tanpa memperdulikan kesan kepada hawa nafsu kita untuk menuju tempat yang lebih tinggi. Dan kita selalu merasa iri hati kepada pencapaian seseorang, makanya sering berusaha untuk  dapat sentiasa menjatuhkan sesama sendiri. Kita selalu ketawa melihat kejatuhan orang lain, biar pun keluarga, apa lagi teman-teman rapat sendiri. Sikap setiakawan kita longgar, dan kalau ada pun, saya rasa tidak ikhlas. Maka, jadilah kita sekarang sebagai rakyat yang sentiasa ragu meragui diantara satu dengan yang lain. Dan memang benar, tidak semua orang kita begitu. Hanya Allah saja yang Mahu Tahu…

Lalu, dengan keadaan diri sebegitu, apakah kita memang sudah layak untuk menjunjung anugerah Kebawah Duli bagi melepaskan potfolio Perdana Menteri Baginda? Apakah sudah ada dikalangan pemimpin kita yang memang benar-benar layak untuk memimpin kita ke jalan yang benar nanti? Seronok benarkah  kita nanti dapat berpesta pilihanraya setiap lima tahun sekali? Tolong bayangkan, dengan sikap dedalu yang sekian lama tertanam di dalam diri kita, berapa banyak kehancuran yang bakal kita lakukan di dalam proses demokrasi tersebut… Dan kepercayaan kita yang terlalu kuat kepada kekuasaan ilmu bomoh, akan membuat banyak bomoh-bomoh kita di masa depan yang akan menjadi jutawan. Percayalah, pada saat tersebut, kunyit, daun sirih, langir dan kemenyan Mekah akan melonjak tinggi harganya. Pengusaha yang inovatif patut bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini.

Maka hari ini, Kebawah Duli sendiri turut merasa harus mempunyai spy Baginda sendiri. Dua parti yang ada tidak cukup untuk menjadi alat check and balance bagi membantu mengusai pentadbiran kerajaan Baginda. Kebanyakkan kita terdiri dari jenis manusia bacul, yang merasa keenakkan menjadi dedalu. Tidak ada nilai pejuang di dalam diri kita. Tidak ada…  Sungguh…

Memang kita harus mengambil iktibar akan beberapa kejadian menyedihkan beberapa negara tetangga yang sudah kucar-kacir kehidupan rakyatnya. Dan kita tidak mahu keadaan itu ketempiasan kepada kehidupan kita sehari-hari. Melihat wajah Ulil Amri yang senyum, belum memberi pertanda bahawa Ulil Amri tersebut merasa bahagia. Di sebalik senyuman Baginda terdapat sejuta kekhuatiran yang tidak terungkap. Baginda cukup tahu rakyat jenis apakah kita-kita ini yang kelihatannya bahagia apabila berebut-rebut dan bersesak-sesak cuba menziarahi Baginda. Dan tidak sedikit daripada kita yang akan mengumpat Baginda kemudiannya. Itulah diri kita yang sebenarnya, mengikut penilaian diri saya sendiri. Maaf…

Kita harus berbangga dengan sejarah keagungan negara kita, serta menginsafi keunikkan tarsilah kesultanan yang kukuh. Dan kita akan tetap terus mempertahankan kedaulatannya, kerana ianya adalah simbol kesatuan kita. Kita memang tidak pernah ingin untuk mengikut fahaman sebuah kuasa politik negara jiran yang secara biadap telah membelakangkan institiusi Diraja mereka.

Namun, bagaimanapun juga, check and balance adalah penting bagi keselajuran kehidupan yang lebih bermakna di masa hadapan, demi untuk kesejahteraan anak-cucu kita. Lalu bagaimana pula halnya dengan golongan elit istana yang sudah mula belajar berniaga, menjadi pakar dalam sekelip mata dengan kekuasaan ekonomi mereka, dan mula menyapu bersih peluang-peluang perniagaan yang ada. Mungkin hari ini cuma beberapa kerat yang terlibat secara terbuka, namun demikian, besok, bagaimana pula ceritanya? Kalau dalam segala urusan perniagaan tersebut, anak-anak kita yang diutamakan, syukur alhamdulillah… Sekurang-kurangnya, akan berkurang juga pengangguran graduan-graduan UBD, ITB dan MTSSR kita.

Memang kita memerlukan check and balance sekarang, agar sejarah parah keruntuhan sebuah empire tidak terulang. Dan kita dalam tempoh terdekat ini harus dapat meyakinkan Kebawah Duli bahawa kita bukanlah jenis rakyat yang ingin meneguk di air keruh. Masing-masing kita punya peranan untuk turut membantu menaikkan nama Brunei Darussalam di mata masyarakat luar, yang terlalu memandang rendah kepada keluhuran nilai budi kita yang sesegandung dengan Paduka Sultan. Kalau Baginda tumbang kekanan, maka, kita sebagai rakyat yang bermaruah, akan turut tumbang ke kiri…

Sesungguhnya, di dalam penulisan saya yang pertama ini, yang baik itu adalah dari Allah jua datangnya, manakala yang buruk itu adalah dari kesilapan diri saya sendiri. Dalam apa hal pun juga, wasiat al-marhum ayah akan tetap menjadi pegangan saya: Limpahkan taat setia yang tidak berbelah-bagi kepada Sultan. Dan jangan sesekali derhaka…

Dan sesungguhnya,  saya redha menerima segala kemungkinan penulisan ini.

Wabillahit Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum Warahatullah.

Camar Putih

Sheikh Mansor Bin Sheikh Mohammad

Pada Umur Tiga Puluh Lima

11 malam, 6 Jun 2002

Shasha benar-benar merasa jengkel melihat  laki-laki yang sedang enak duduk merokok di- depannya saat itu. Dia dari tadi cuma asyik tersenyum. Entah, mengapa kali ini dia merasa benar-benar benci melihat senyuman seseorang. Tidak biasanya dia begitu. Menghadapi laki-laki yang seorang ini, pertahanannya terasa cukup mudah tergoyah. Namun, Firdaus, laki-laki yang dimaksudkan, tetap dengan sikap acuh tak acuhnya. Bicara lepas bebas, menyakitkan hati. Macamlah dunia ini milik datuknya...

“Lelaki Brunei ini bodoh-bodoh semua,” singkat ucapan Shasha, dengan perasaan geram. Ucapan itulah yang membuat Firdaus benar-benar tidak mampu untuk menahan senyumannya tadi. Bukan hanya senyum, malah dia juga pada Shasha kedengaran seperti tertawa kecil. Mentertawakan komentar Shasha sebentar tadi. Tertawa mengejek. Dan renungan matanya, tajam, tepat ke anak-mata Shasha, membuatkan gadis itu tertunduk malu. Sungguh, matamu seperti mata helang yang sentiasa siap untuk menyambar mangsanya!

“Jadi, hanya kerana tidak ada orang Brunei yang berminat untuk memperisterikan perempuan-perempuan seperti kamu, maka menurutmu, mereka layak dianggap bodoh. Begitu?” Firdaus meminta penjelasan. Dan senyum menjengkelkan itu tetap  tersungging di bibirnya. Cukup untuk memancing kemarahan Shasha.

“Ya, memang” singkat jawabnya. “Habis harus dibilang apa kalau bukan bodoh namanya itu?” Tambahnya lagi, tak lama kemudian, dengan pertanyaan juga. Nampak sekali marahnya, hinggakan wajah putihnya berona merah. Wajah yang putih mulus, dan terpelihara dari salutan alat-solek yang  tebal. Tidak seperti wajah Nora yang sedang duduk diam di sebelahnya. Tebal semacam, seperti pelakun opera Cina saja lagaknya… Tapi, biarpun solekan Shasha nipis dan bersahaja, namun ianya lebih menimbulkan pesona. Simple, yet nice, begitulah, mengikut penilaian Firdaus, seperti yang pernah diucapkannya pertama kali berjumpa dulu. Memang Shasha nampak manis sekali. Dan Firdaus tersenyum apabila membuat perbandingan di antara dua gadis berumur tiga puluhan yang sedang duduk gelisah di depannya itu. Yang mana satu pilihan kalbu, nyanyinya di dalam hati, mengajuk lagu allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Yang kau dari tadi senyummu tak mahu hilang, mengapa?” Tanya Shasha, menyatakan rasa jengkelnya, kemudian. Matanya seakan-akan berdelik. Namun dalam hati tanpa tahunya, Firdaus sempat bilang: Nona manis, bukalah matamu sebesar-besarnya, belum bisa megecutkan hatiku, apalagi untuk menaklukkan aku…! Aku sudah biasa menghadapi perempuan yang seribu kali lebih galak darimu…

Entah mengapa pertemuan   mereka berdua ini selalu saja seperti ada pertembungan. Sentiasa panas. Seperti pertemuan dua orang yang sedang bermusuhan. Arafat dan Sharon juga rasanya akan lebih berlembut bila bersua muka. Tapi, tidak untuk Shasha dan Firdaus. Kedua-duanya seolah-olah ingin membuktikan keangkuhan diri masing-masing. Untung sekali XiberTech Café tempat mereka bertemu itu situasinya ceria dan riang. Dari kaca tv, MTV sedang diputarkan. Firdaus turut mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut rentak lagu Can’t Get You Out Of My Head yang kebetulan amat digemarinya. Mereka bertiga diam. Lama kemudian baru kedengaran suara Firdaus memecah kesunyian.

“Izinkan aku berterus-terang dengan pendapatku sekarang,” ujar Firdaus, setelah menghidupkan rokoknya sebatang lagi. Wajahnya mula serius. Asyik sekali dia dengan rokoknya itu. Kepulan-kepulan asap, keluar secara perlahan dari mulut dan kedua lubang hidungnya. Seperti naga…

“Boleh kau tidak merokok?”  Nora tiba-tiba bersuara sambil tangannya cuba  mengalihkan asap yang menerjah ke wajahnya. Matanya turut berdelik. Nampak seperti mata burung hantu, bisik hati kecil Firdaus.

Sorry,” jawabnya pendek. “This is a smoking cafe, so, I’ll smoke as I please,” sambungnya lagi, tegas. Siapa kamu yang berani cuba-cuba untuk mengatur aku? Bisiknya lagi  di dalam hati. Firdaus tetap dengan rokoknya. Asyik. Nora hanya dapat mencebikkan bibirnya, jengkel. Namun, Firdaus tidak memperdulikannya.

“Apa yang aku tahu, mengikut satu statistik yang tidak rasmi, banyak perempuan-perempuan berkarier lepasan UBD yang gagal untuk berkahwin hingga sekarang. Masaalahnya, umur mereka kini, ada yang sudah melebihi tiga puluh,” terang Firdaus, dengan wajah yang nampak semakin serius. Namun, dia tetap terus asyik dengan rokok kreteknya. Memang dia kelihatan menikmati karbon monoksida tersebut. Shasha cuma diam memerhatikannya. Dan dalam hati dia berkata: Begini caramu merokok, paru-parumu pasti seperti peparu yang digoreng hangus pembantu rumahku!

Namun, Firdaus kelihatannya tetap tak acuh. Dan matanya sempat melirik kepada si burung hantu di sebelah Shasha. Astaga, sudah berubah menjadi monyet dia sekarang dengan wajah muramnya! Firdaus mula tersenyum lagi. Dia menghisap rokoknya dalam-dalam lalu kemudian menghembuskan kepulan-kepulan asapnya kepada monyet di depannya itu. Lihatlah, kalau-kalau dia akan jadi beruang pula…

“Soalnya, mengikut hematku, kebanyakan kamu sewaktu menjadi siswi di UBD, berlagak  sombong, dan tidak ingin untuk dihampiri. Ya, tentu saja dengan alasan, ingin menumpukan seluruh perhatian kepada pelajaran. Benar kan?” Pantas timbul pertanyaannya, hingga mengejutkan Shasha.

“Kurasa, kau benar,” jawabnya pendek, terpaksa.

“Maaf Shasha, aku akan berkata apa adanya. Dan kuharap you tahu, bahawa tidak ada maksudku sekelumit pun untuk menyinggung perasaanmu,” tambahnya lagi kemudian. Shasha cuma diam.

“Apa yang kutahu, semasa di UBD dulu, banyak di antara siswinya, yang sombongnya allahurabbi. Mereka tidak mudah didekati. Malah, ada sesetengahnya, langsung tidak ingin untuk didekati. Apalagi kalau lelaki yang cuba mendekati itu cuma seorang kerani biasa,” sambungnya kemudian. Dia berhenti sebentar di sini, melihat reaksi Shasha. Namun gadis tersebut, seperti awalnya, tetap diam.

Firdaus juga  kemudiannya diam. Agak lama diamnya kali ini. Dan dia tidak membuang peluang untuk melahap rokok kreteknya. Asyik sekali dia kelihatannya dengan rokoknya. Peparu itu, bukan hanya hangus, tapi kini pasti telah rentung, bisik hati kecil Shasha.

Dan monyet yang duduk di sebelah Shasha juga diam. Memang dia tidak nampak berminat untuk ikut serta di dalam perbicaraan mereka. Dan terasa amat lama kemudian, baru Firdaus menyambung kata-katanya. Agak perlahan suaranya kali ini.

“Tapi, di dalam kamu menolak kehadiran laki-laki biasa yang bukan dari jenis lelaki impian, dengan alasan untuk studi tadi, pertahanan kamu pastinya mudah goyah apabila  muncul seseorang lelaki lain, yang berstatus siswa, lebih-lebih lagi siswa dari luar negeri. Kamu biasanya tidak akan menolak huluran kasih-sayang yang berbau cinta dari mereka. Dan dapat kubayangkan senyum ibu-bapa kamu yang pasti sampai ke telinga, memikirkan akan kemungkinan bermenantukan seseorang yang berkelulusan dari luar negeri” ucap Firdaus lagi. Shasha sendiri sudah tidak tahu harus berkata apa. Dia hanya memandang wajah bersahaja Firdaus. Sesungguhnya, dia tidak tahu bagaimana harus membalas kata-kata Firdaus itu.

“Dalam hal ini, sikap orangtua sebegitu memang wajar, dan tidak dapat dipersalahkan. Tidak ada orangtua yang akan sanggup menyediakan neraka untuk anaknya,” ujar Firdaus dengan penuh yakin. Shasha mengiakannya.

“Itu, memang kalau kebetulan kamu bernasib baik didekati oleh senior student dari, say, UK. Soalnya, apakah nasib baik itu akan terjadi untuk semua orang, seperti yang sering kita harap-harapkan?” Sebuah pertanyaan timbul dari mulutnya. Dan Firdaus memang tidak bermaksud untuk meminta Shasha menjawabnya.

“Kita semua tahu dengan pasti akan kemungkinan tersebut. Tapi, berbalik kepada sikap kita sendiri yang amat suka menidakkan kebenaran. Bukankah pada kebiasaannya seseorang lelaki itu akan tertarik kepada gadis-gadis yang beberapa tahun  lebih muda dari dirinya sendiri? Pastinya pada situasi yang normal, seperti orang yang makan ulam, maka pucuk-pucuk mudalah yang akan dicari. Dan di- dalam soal untuk mencari bakal pasangan hidup, latar-belakang pendidikan formal gadis-gadis pilihan tidaklah selamanya akan menjadi kayu pengukur seorang lelaki, sebagai syarat utama untuk memilih calon isteri. Maka, dalam keadaan diri kamu yang sudah merasa punya kepak gagah, mandiri dan dominan, banyak lelaki Brunei yang kecut untuk mendekati kamu. Dan apabila tiba-tiba saja kamu tersingkir, gagal untuk meraih cinta jejaka, maka di sinilah masaalah itu selalunya akan bermula.”

Bicara Firdaus terhenti seketika di sini. Dan pandangan Firdaus menuju tepat ke anak-mata Shasha. Namun gadis tersebut seperti tadi, cuma berdiam diri. Suasana malam itu agak sepi, lebih-lebih lagi café tersebut, memang ketandusan pelanggan. Memangpun begitu keadaannya dihampir keseluruhan café dan restoran yang berselerak di sekitar Bandar Seri Begawan. Jumlah café dan restoran serta warung-warung haram  terasa seolah-olah lebih banyak dari pelanggan yang perlu mencari makanan di luar, akibat dari merasa muak dengan masakan isteri atau ibu di rumah!

“Umur di atas dua puluh tujuh bagi perempuan-perempuan di Brunei ketika ini, maaf, bagiku sudah termasuk dalam kategori berumur lanjut, lebih-lebih lagi bagi kamu yang mempunyai ijazah. Dan sikap dominan perempuan-perempuan Brunei, sudah pasti akan lebih memburukkan suasana, sama ada kita mahu mengakuinya  ataupun tidak. Banyak daripada perempuan-perempuan kita di Brunei ini, terutama yang berijazah seperti you umpamanya, bersikap terlalu agresif. Sedikit kasar, dan mungkin  juga hidup penuh dengan keangkuhan. Dan keadaan itu pasti akan menyebabkan semakin mengecilnya kemungkinan untuk kamu mendapatkan jodoh yang sesuai. Idealnya, lelaki dalam lingkungan umur dua puluh sembilan hingga tiga puluh lima yang dicari. Soalnya, berapa banyakkah jumlah lelaki yang available dari lingkungan umur tersebut, yang juga berijazah seperti kamu? Dan kalau memang adapun, berapa banyak pula dari mereka yang masih bujang? You tahu pasti kan, pemuda-pemuda Brunei, majoritinya kawin muda. Jadi, kalau memang ada yang berkenan di hati, kalaupun bukan duda, kebiasaannya adalah suami orang.”

Shasha mula kelihatan gemas. Apa lagi Nora, yang kebetulan terbabit dengan cinta tiga segi, dengan suami orang, seperti yang baru diucapkan Firdaus sebentar tadi.  Namun, Firdaus tetap bersahaja dan dengan selamba terus asyik menghisap karbon monoksida dari rokok kreteknya!

“Tadi you bilang, orang-orang Brunei bodoh” ucap Firdaus seolah-olah menujukan pertanyaan kepada Shasha, memancing penjelasannya.

“Memang bodoh,” tegas suaranya menjawab. “apa pun alasannya, mengapa tidak ada yang berani untuk approach orang-orang seperti kami?” Tambahnya lagi, dengan pertanyaan juga. Firdaus cuma senyum. Senyuman yang paling lama sekali, mengikut Shasha. Menjengkelkan. Namun, seperti biasa, Firdaus tetap acuh tak acuh. Dan rokoknya itu….

“Tidak ada?” Tanyanya kemudian. “Lalu, aku yang berani mencuba untuk menghampirimu saat ini, you jelas mentah-mentah menolak,” tambahnya kemudian. Jujur sekali nada suaranya. Dia tetap tersenyum. Tidak ada pun riak kecewa kelihatan di wajahnya.

“Aku tidak menolakmu,” kata Shasha seolah-olah cuba memujuk.

You kata tidak menolak, tapi, soalnya, you juga tidak menerima. Bukankah secara tidak langsung, penolakkan  juga namanya itu?” Tukas Firdaus, tetap dengan senyumannya. Konyol, bisik hati kecil Shasha.

Dan aku pasti Shasha, penerimaanmu pasti jauh berbeza jika kebetulan aku memandu kereta berjenama, BMW umpamanya. Soalnya, aku hanya memandu Soluna yang entah berapa sen sangat harganya…!

2.10 pagi, 10 Jun 2002

< Shasha: Hai msih blum tdo?

< Firdaus: Blum lg, msih ngarang. U napa blum tdo lg? Ada sapa2 yg drindu? Hehehe..

< Shasha: Bru slesai surfing. U smpai jam brapa nulis?

< Firdaus: Tak tntu. Bla ada mood, kdng2 smpai pg. Can I cal u?

< Shasha: Apa hal? Nnti bnyk bil tpun yg u kna byar.

< Firdaus: Y do u hv 2 say dat? Mestikah smuanya dnilai dri segi duit?

< Shasha: M only joking, Sori. Ok, u cal me drmah, u tau my no kn?

< Firdaus: Yup. I save my work dlu. 5 mins.

< Shasha: We can talk till 3, me kn tdo, esok kaja.

<Firdaus: K J

2.00 pagi, 11 Jun 2002

Berhenti bercakap pada pukul 3? Nyatanya, mereka bergayut di telefon hingga jam 6.30 pagi kelmarin! Ada saja topik yang mereka bicarakan. Dan sesekali sempat juga terselit sedikit ketegangan akibat dari beberapa perbenturan pendapat. Kedua-dua mereka bagai anjing dan kucing. Entahlah. Shasha terasa mereka seperti minyak dan api pula. Seolah-olah tak dapat hampir. Tak boleh bersama. Masing-masing bertegas untuk tidak mengalah. Namun, di atas segalanya, Shasha agak tertarik juga dengan sikap berterus terang Firdaus sebegitu. Keberaniannya mengeluarkan pendapat serta keupayaannya untuk  mempertahankan pendapat-pendapatnya itu. Dan pasti, dengan cepatnya pula dia berupaya menangkis setiap kritikan Shasha. One hell of a person…

Dan Shasha biarpun agak mengantuk keesokkan harinya, namun ada riak bahagia terpancar jelas di sebalik pandangan kuyu matanya. Dan butir-butir perbicaraan mereka tetap segar di dalam ingatan Shasha. Sungguh mengasyikkan sekali. Dan awal-awal lagi Firdaus mengungkit hal yang sama. Soal yang padanya hanya berkisar kepada penolakan Shasha itu!

So, how is your day dear?” Tanya Firdaus sambil ketawa.

Sleepy,” jawab Shasha singkat. “Rasanya aku ingin tidur sewaktu berada di dalam kelas tadi. I’ve never done that before” sambungnya lagi kemudian.

“Tak pernah?” Tanya Firdaus keheranan. “Kehidupan you terlalu idealistik Shasha. Tanpa hura-hura. You tak merasa bosankah hidup dengan gaya stereotype begitu? Jadi, setiap hari you tidur tepat waktu, dan bangun pada masa yang sama setiap hari? Wow!” tambahnya lagi kemudian sambil ketawa.

You bilang you mengantuk, tapi sekarang masih sanggup  bersengkang mata untuk menelefon dan berceloteh denganku. Mengapa Shasha?”

“Aku sempat tidur selepas maghrib tadi. Aku bangun jam sebelas” jawabnya sambil ketawa kecil. “Tapi, kali ini, kita berhenti pada jam tiga, ok?” Tambahnya kemudian, dengan nada mengharap.

Oklah, you beritau saja nanti bila sampai masanya you nak masuk tidur. Aku memang sudah biasa berjaga begini. So, you sudah dapat hati you?”

Shasha semacam bungkam mendengar pertanyaan mendadak Firdaus itu. Dia benar-benar tidak tahu mahu berkata apa.

I’m sorry about last night Firdaus” katanya perlahan.

I’m sorry too Shasha. I’m a jerk…” balasnya kemudian. “Maaf kerana menggelar you frigid semalam. I shouldn’t have said that. I’m sorry, really am…” tambahnya lagi tak lama kemudian.

No, it’s okay. Maybe what you said last night is actually true. Maybe i’m frigid…”

No, you are not, Shasha. It’s just that, mungkin pada umur you saat ini, you sudah putus harapan, dan merasa segala-galanya sudah terlambat untuk you.

“Dan mungkin ada benarnya juga that I’m over confident, seperti apa yang kau ucapkan semalam.”

“Maafkan aku sekali lagi Shasha. Aku tak pernah bermaksud untuk menyakiti hati you” jelas Firdaus, dengan suara perlahan. Shasha cuma diam.

“Sejak pertemuan kita yang pertama dulu, aku merasa bahawa kita berdua asyik bertengkar saja. Masing-masing kita ternyata tidak mahu mengalah. You dengan keras-kepala you, dan aku dengan sikap arrogantku…” tambah Firdaus kemudian, jujur.

You’re being straight forward Firdaus, blunt. At least, aku tahu, kau bersikap jujur.

“Aku heran bila you tetap sudi menelefonku pagi ini. Aku benar-benar merasa yang perhubungan ini tidak akan membawa kita kemana Shasha” ujar Firdaus lagi.

“Firdaus, please understand, aku hanya meminta sedikit masa darimu. Bukan menolakmu, believe me please. Aku merasa hatiku tidak ada sekarang. Tapi, aku ingin kita terus bersahabat, semantara aku cuba untuk mendapatkan hatiku kembali…”

“Maaf Shasha. Aku tidak punya masa untuk itu. Terus terang aku ingin memberitahu you hal ini. Apabila aku bersetuju untuk menjumpai you beberapa hari yang lalu, awal-awal lagi aku sudah mengatakan pada temanmu Didi yang aku mengharapkan sesuatu yang lebih dari hanya sebuah persahabatan.”

“Tapi, aku kan cuma minta sedikit masa untuk mendapatkan hatiku semula?”

“Di mana hatimu sekarang? Pada teman chattersmu?” Tanya Firdaus pantas.

Shasha tak mampu menjawabnya. Hatinya sememangnya merasa agak jengkel diperlakukan kasar Firdaus begitu. Tapi, entahlah… Shasha sebaliknya menghargai sikap terbuka Firdaus, walaupun bicaranya sentiasa bebas lepas. Straight forward. Blunt. Monyet!

I need someone to love Shasha. Seseorang yang dapat kupeluk dan kucium pada saat bahagiaku. Maybe, a shoulder to cry-on…,” ucapnya jujur.

You’re blunt,” tukas Shasha.

Blunt…, ya, mungkin saja Shasha. Tapi, kalau saja you tahu mengapa, alangkah akan berbezanya nada pengucapanmu. Pada umur yang sudah empat puluh dua, ditambah dengan kesakitanku sejak empat tahun yang lalu, masa untuk bercinta bagiku, sudah tidak ada lagi. Aku takut semuanya akan terlambat… Haruskah aku berterus-terang padanya? Ah, aku bukannya ingin untuk menagih simpati…

“Sekurang-kurangnya aku bukan dari jenis munafik Shasha. But, sex is out of the picture. Not before marriage. Do it, and you’re gone.” Jelasnya lagi. Tegas.

So, forget me…,” pinta Firdaus kemudian, mengejutkan Shasha.

No! I won’t!” Jawab Shasha pendek, hampir berteriak.

Kini baru aku merasa telah mensia-siakan masa remajaku. Dalam usia yang sudah menjangkau tiga puluh lima ini, aku belumpun pernah merasakan indahnya hidup berkasih. Aku terlalu sibuk dengan studiku. Terlalu asyik memburu cita-cita, hingga langsung tidak memberi ruang untuk bunga-bunga kasih berputik dan kemudian meranum. Jadilah aku seperti sekuntum bunga hutan yang kembang mekar, namun tak terusik walau oleh seekor kumbang pun. Dan bunga mekar itu kini terasa semakin tersisih, hampir layu dan menunduk kepada fitrah alami.

Namun Firdaus tetap juga dengan sifat riangnya. Penolakkanku terhadap huluran cintanya tidak sedikitpun mengecewakannya. Tidak pernahkah dia bersedih, sempat hati kecil Shasha berbisik.

So, sukan apa yang kau ceburi sewaktu di bangku sekolah?” Tanya Shasha mengalih tajuk perbualan mereka malam tersebut.

“Banyak,” jawabnya ringkas. “Aku mewakili sekolah dalam tiga sukan utama, bolasepak, hoki dan ragbi,” tambahnya lagi, dengan nada bangga.

“Ragbi?” Tanya Shasha, agak terkejut. Badanmu bukannya besar sangat…

“Ya, ragbi. Aku malah telah terpilih untuk  mewakili sekolah-sekolah Brunei dalam satu lawatan ragbi ke Singapura dulu. Dan aku juga ketua pasukan ragbi PTE .”

“Patutlah kau kelihatan ganas…,” pintas Shasha, ketawa.

“Ganas?” Balas Firdaus, heran. “U tidak tahu apa erti ganas sebetulnya Shasha,”  tambahnya dengan ketawa.

“Tunggulah bila u nanti lemas dalam pelukanku, then, u akan tahu apa erti ganas….”

“Eeeeeeerk…,” balas spontan Shasha, seakan-akan ingin muntah. Namun dia tak mampu untuk menahan ketawanya. “Nanti, kukarate lehermu yang sakit itu, biar cepat mati…,” tambahnya lagi kemudian, tetap dengan ketawanya. Firdaus turut ketawa mendengarkannya.

“Dan, aku juga pernah bermain hoki untuk pasukan Kebangsaan,” tambahnya tanpa dipinta.

“Kau benar-benar aktif bersukan,” puji Shasha.

Sports is part of my life,” pengakuan ikhlas Firdaus. Namun tiada nada sombong di suaranya bila mengucapkan itu.

You play badminton?” Tanya Shahsha kemudian.

A bit,” jawabnya pantas. “Tapi, aku rasanya lebih gemar kepada jenis-jenis sukan yang berbentuk fisikal, yang ada body contact” tambahnya lagi.  “Tunggu sebentar…,” pohonnya kemudian.

Dan sudah setentunya Shasha tahu benar untuk apa permohonan Firdaus sebentar tadi… Pasti beruk itu sebentar lagi akan bertukar menjadi naga…

“Hai…” sapanya beberapa minit kemudian, lebih bersemangat.

“Buat apa tadi? Merokok?” Tebak Shasha.

“Tepat…,” jawabnya sambil ketawa. “Sepuluh markah penuh untuk anda…,” tambahnya lagi, menyakitkan hati Shasha.

“Tak dapatkah kau berhenti merokok barang sehari?” Tanyanya lirih.

“Setiap hari aku berhenti merokok,” jawabnya bersahaja. “Sewaktu tidur,” tambahnya kemudian. Herannya kali ini, ketawa ramahnya tiba-tiba tak kedengaran. Hilang. Mereka berdua serentak diam. Lama kemudian baru kedengaran suaranya semula.

“Sewaktu di Sixth Form dulu, ada seorang gadis yang benar-benar suka padaku,” kata Firdaus memulakan cerita, tanpa dipinta. “Dia cantik dan cukup menawan. A very sweet girl. Walau nampak pemarah, tapi, aku benar-benar senang padanya,” sambung Firdaus, dengan suara yang agak perlahan.

What happened then?” Tanya Shasha, tak mampu menyembunyikan keingin-tahuannya.

“Waktu itu, di dalam kelas, tidak pernah sekalipun dia mengizinkan penuntut lelaki lain untuk duduk di sebelahnya, kecuali aku. Aku tidak akan pernah melupakan wajahnya. Sebuah wajah melankolis. Wajah yang mengandung hiba. Mirip Lenny Marlina.”

“Lenny Marlina?” Pantas tanya Shasha. “Kulihat dia main di dalam drama Permata Hatiku, nampak  sudah  kerepot dia sekarang…,” tambahnya lagi dengan ketawa.

“Lenny Marlina waktu mudalah, monyet,” balas Firdaus, jengkel. Namun dia juga turut ketawa kemudiannya.

“Satu pagi, sebelum kelas bermula, teman baikku, Abd. Wahab, datang dan memberi khabar betapa gadis itu benar-benar menyukai aku. Dan dia juga bilang bahawa Rosni, nama gadis itu, tidak suka tabiatku yang kuat merokok.” Dan  bicara Firdaus, lama terhenti di sini.

It’s a normal thing to say…,” pintas Shasha memecah kesunyian.

“Ketika itu memang aku merokok sebanyak empat bungkus sehari. Dan aku benar-benar marah mendengar ucapannya melalui teman baikku itu. Saat itu Rosni cuma duduk bersendirian. Dan aku lalu bilang: Rokok adalah temanku yang paling setia, yang aku tahu, tidak akan pernah meninggalkan aku sampai bila-bila. Kalau memang tidak suka, kataku, saat itu dengan suara yang agak keras: Boleh berhembus!”

“Kau tega berkata begitu Firdaus?” Tanya Shasha, cemas.

“Ya,” jawabnya pendek. “Apa yang terjadi kemudian, Rosni menangis, lalu terus  pulang. Dan esoknya, dia tidak pernah datang ke sekolah lagi. Dia nekat untuk berhenti,” tambahnya. Kekesalan jelas kedengaran pada nada suaranya.

“Aku menyesal sekali Shasha. Entah, mengapa aku begitu tega berkata sekasar itu pada seseorang yang terlalu baik padaku…”

“Itulah…, you’re too blunt” ujar Shasha.

“Sampai saat ini, aku tidak pernah tahu, di mana Rosni berada sekarang. Aku merasa berdosa padanya. Sebelum menutup mata, aku ingin sekali untuk meminta maaf padanya…”

“Kau dengan cara merokokmu itu, apa sememangnya kau tidak pernah  takut pada penyakit?” Tanya Shasha mengalih tajuk perbualan.

“Atau, mungkin lebih baik u bertanya seperti ini Shasha: Tidakkah kau takut mati akibat serangan barah?” Kata Firdaus pantas. Shasha bungkam.

“Terus terang Shasha, mati padaku adalah satu kepastian. Suka atau tidak, ianya pasti akan datang kepada kita. Kita terlalu kerdil untuk mengetahui rencana Allah terhadap setiap makhluknya. Namun, aku penuh yakin pada qadak dan qadar-Nya. Dan aku samasekali tidak akan mati disebabkan oleh rokok. Aku akan cuma akan mati jika  memang ajalku sudah sampai, merokok ataupun tidak.

“Jadi, sekarang kau masih merokok empat bungkus sehari? Pintas Shasha cuba mengalih tajuk perbualan.

“Sekarang sudah tidak lagi. Cuma dua bungkus, kadang-kadang tiga,” jawabnya jujur.

“Bagaimana nanti jika cukai import rokok benar-benar dinaikkan kerajaan, empat ratus peratus?”

“Harga rokok pasti akan berlipat-ganda. Jadi, aku akan mempastikan untuk pergi ke Limbang, Labuan atau ke Miri setiap minggu, mendapatkan bekalanku,” jawabnya bersahaja.

“Dan pada waktu yang sama, mungkin aku akan menjadikan Limbang dan Miri sebagai tempat membeli-belah keperluan seharianku.”  Tegas nada suaranya.

“Dalam erti kata yang lain, kau akan turut menyertai komplot untuk menjejaskan ekonomi negara,” balas Shasha, seolah-olah mahu membidas ucapan Firdaus.

“Ekonomi negara bukan urusanku. Itu kerja menteri kita yang gajinya empat puluh ribu. Yang aku fikirkan, ialah mendapatkan rokok dengan harga yang paling murah. U tau harga sebungkus rokok seperti yang kuhisap ini di- tempat-tempat itu? Hanya lapan puluh sen sebungkus, sedangkan di sini, harganya dua ringgit.”

Hidden costnya?” Tanya Shasha.

“Alah, berapa sangatlah kos minyak untuk ke Kuala Lurah, Shasha…”

“Tapi, walau apapun jua, kau pasti akan menyumbang kepada keruntuhan ekonomi negara kita.”

“Aku untuk setakat ini, hanya akan membeli rokok. Dengan itu juga, setidak-tidaknya aku tidak ikut bersubahat merelakan kerajaan mengutip wang dari kegiatan yang haram.”

“Haram? Kau terlalu mengada-ada Firdaus…”

“Mengada-ada apanya Shasha? Bukankah rokok itu sudah dihukumkan haram? Jadi, apa pula hukumnya kerajaan memungut cukai dari sesuatu komoditi yang haram, untuk kemudian disalurkan kepada kita-kita ini yang menerima gaji darinya?” Bersemangat dia berucap.

“Entahlah Firdaus. Aku kurang arif dalam hal ini,” balas Shasha, tak bernafsu. Namanya beruk itu, beruk juga…

Firdaus kemudian ketawa. Dan Shasha juga kemudiannya ikut ketawa sama.

“Besar kemungkinan aku akan berkursus di Singapura pada bulan depan, itupun jika permohonanku di luluskan” kata Shasha tak lama kemudian memecah kesunyian.

“Berapa lama u nanti di sana?” Tanya Firdaus, seakan tak bernafsu.

“Lima bulan. Kursus tersebut bermula pada 7 Julai nanti, dan berakhir pada 30 November. Aku akan pulang beberapa hari sebelum Hari Raya.”

We’re only together a short time, and suddenly, you are gone…”

I’m coming back, okay? After all, it’s only five months” jelas Shasha, manja…

Just promise me one thing Shasha…” balas Firdaus semacam tak bernafsu.

What is it?” Tanya Shasha tanpa sabar.

Promise me that, we will call each other every alternate days…” jelas Firdaus dengan nada perlahan.

“Kau tak takut duitmu habis nanti?” Usik Shasha dengan manja.

“Ada duit, aku calllah, tak ada duit, duduk diam-diam di rumah” balas Firdaus, dengan ketawa.

9.30 pagi, 5 Disember 2002

Namun janji tersebut rupanya tidak tertunai lama. Entah mengapa tiba-tiba saja Shasha merasa seakan-akan jengkel menerima panggilan telefon dari Firdaus, betapapun ada sedikit kerinduan Shasha untuk mendengar celotehnya. Memang tidak ada hal penting yang akan dibicarakan Firdaus, selain dari menyatakan rasa rindunya untuk mendengar suara Shasha. Itulah barangkali puncanya. Shasha sebetulnya tidak mahu Firdaus menghabiskan duitnya membuat panggilan jauh, hanya untuk menyatakan perasaan rindunya itu. Dan tiba-tiba terasa kelopak matanya panas. Shasha tidak dapat menahan hiba mengenang sms Firdaus di suatu hari, pada saat dia sedang sibuk bertugas: If u r not 2 bz, pls cal me. Urgent!

Shasha kelam-kabut membaca pesanan tersebut, lalu terus menghubungi Firdaus melalui hpnya.

Yes? What happened?” Tanyanya, cemas.

Actually, nothing…” jawabnya selamba. “I just want to tell you, I missed your sweet voice…” tambahnya dengan derai ketawa.

“Monyet…” balas Shasha, yang juga tak mampu untuk menahan ketawanya.

Rindu… Entah mengapa Shasha semacam benci mendengar perkataan tersebut. Fobia, mungkin…

Dan itulah juga yang sering di ucapkan Firdaus kepadanya ketika membuat panggilan ke Singapura dulu. Rasa rindunya… Dan aku pula, sering mengatakan ingin mengkarate lehernya yang sakit, supaya cepat mati… Supaya dia cepat mati… Cepat mati…

Shasha menyapu matanya yang kini sudah digenangi airmata. Dia memandangi wajah Nora yang sering dipanggil Firdaus monyet itu. Memang antara Firdaus dan Nora selalu tidak pernah aman berdua. Ada saja yang tidak kena di antara mereka. Nora benci bila Firdaus merokok, lebih-lebih lagi apabila asap rokok dihembuskan beruk itu ke wajahnya. Yang pasti menurut Shasha; yang seekor adalah beruk, dan yang seekor lagi, monyet. Aku sendiri sering dipanggil beruk itu, frigid. Benarkah aku frigid?

Nora tidak banyak bicara hari itu. Memang sejak kelmarin dia diam, tidak seperti selalunya, sebagaimana Nora yang benar-benar kukenal. Dia turut menyambut kepulanganku di lapangan terbang petang semalam. Dan dia kemudiannya bersetuju untuk menemaniku di rumah sepanjang malam.

“Aku sedikit kasar pada Firdaus beberapa minggu sesudah aku di sana. Aku rimas dengan perhatiannya yang kurasa terlalu berlebihan. Dia pasti akan membuat panggilan padaku setiap dua hari. Tidak ada sesuatu yang pasti yang akan dibicarakannya, melainkan hanya ingin memberitahu aku, rasa rindunya pada suaraku. Itulah yang membuat aku marah. Kurasa, dia hanya membuang waktu dan lebih-lebih lagi, duitnya. Aku samasekali tidak  pernah bermaksud untuk menyakiti hatinya,” kata Shasha dengan suara agak tertekan. Ketara sekali betapa dia berusaha untuk menahan rasa hibanya. Dia membersih – atas tanah yang masih membasah itu. Namun bunga mawar tersebut kelihatan sudah mula meranum. Daun-daunnya nampak hijau dan lebat. Nora hanya diam, tak membalas kata-kata Shasha. Tapi, pandangannya tepat ke wajah Shasha yang nampak sedikit pucat.

“Sebetulnya, masih ada dua permintaan Firdaus yang belum kutunaikan. Permintaannya kira-kira enam minggu lalu, setelah dua bulan kamu terputus hubungan.”

“Apa dia?” Tanya Shasha pantas. Kelihatan dia benar-benar tidak sabar untuk mengetahui permintaannya itu.

“Pertama, dia  berpesan, jika kau sudah berada di sini, untuk memberitahumu, betapa dia akan tetap terus merindui suaramu, di manapun dia berada…,” perlahan kata-kata itu keluar dari mulut Nora, yang sudah tidak mampu menahan titisan airmatanya. Dan kelopak mata Shasha juga kini sudah turut berkaca semula.

“Itulah yang selalu dikatakannya bila membuat panggilan jauh padaku Nora. Rindu untuk mendengar suaraku…,”  ulang Shasha lagi dengan suara yang agak perlahan. “Lalu, apa permintaannya yang kedua?”

“Dia meminta aku untuk menyerahkan surat ini kepadamu, jam sepuluh pagi, hari kedua sesudah kau berada di Brunei, ertinya, hari ini,” kata Nora perlahan, dengan deraian airmata yang sudah tidak dapat ditahannya lagi.

Terketar-ketar Shasha mengambil surat Firdaus dari tangan Nora di seberang sana. Dia seperti tahu saja pada waktu yang ditetapkannya, aku akan berada di sisinya.

“Apa pendapatmu Nora? Haruskah aku membaca suratnya ini, sekarang?” Tanya Shasha, sekadar mengharap satu kepastian.

“Asal kau tidak pengsan lagi untuk kali ketiga…,” balasnya singkat, mengingatkan keadaan Shasha apabila berita tentang Firdaus dikhabarkan kepadanya selepas makan semalam. Berita yang terpaksa juga dikhabarkan kepadanya, apabila Shasha bersikeras benar untuk membuat panggilan telefon, kepada beruk yang ingin diberikan hati, yang sudah didapatkannya semula. Ternyata Shasha telah terlambat dua minggu…

“Kalau aku pengsan, di sana kan ada dua orang abangku,” katanya kemudian, sambil jejari lentiknya ditudingkan kearah di mana kedua abangnya menunggu. Dia memaksa sebuah senyuman untuk tersungging di bibirnya.

“Suka hatimulah…,” balas Nora, lembut.

Dan berhati-hati sekali Shasha merobek sampul surat A6 yang terukir cantik namanya itu.

Dan memang benar pun jangkaan Nora. Shasha pengsan lagi. Tubuhnya yang sejak tadi kelihatan lemah,  rebah dengan gontai, sambil tangannya tetap erat memeluk batu nisan Firdaus yang diam dan kaku.

Namun di atas sana, Firdaus pasti tahu bahawa hati Shasha yang lama menghilang dulu, akan tetap bersemadi bersamanya, mekar bersama bunga mawar yang mula meranum di atas pusaranya.

Namun Kupunya Hati


Tiba-tiba saja dunia ini terasa seperti terhempap di atas tubuhku. Aku menjadi lemah dan lelah akibat hempapan yang langsung tidak terduga itu. Untuk menyedut nafas juga kini sudah terasa semacam payah. Pertahanan diriku turut goyah. Nurofen menjadi sahabat setiaku sejak akhir-akhir ini. Tanpanya kepalaku akan terasa amat berat sekali. Denyutannya kadang-kadang terasa amat menyerikan. Sakit memang, tapi aku malah ingin merasa lebih sakit lagi. Biar ia barah, aku tidak peduli. Aku sudah pasrah kini. Hidup sudah terasa seperti tidak bererti lagi.  Kelopak mataku yang kini sudah sering berkaca, membuat aku terasa seperti orang yang lemah dan tidak berdaya. Memang aku lemah tidak berdaya.

“Perhubungan kita ini membuat aku berada di dalam keadaan serba-salah. Please remember that I’m torn in between” jelas Ida beberapa hari lalu. “Sebagai cucu yang tertua, aku harus dapat menjadi contoh kepada adik-adik, serta sepupu yang lain. Aku terpaksa turut memikul beban, bagi  menjaga nama baik keluarga, menjaga airmuka nenekku terutamanya. U tau kedudukannya di mata masyarakat, kan? Dan di satu sudut lain, aku juga terpaksa menjaga hatimu…” sambungnya lagi, dengan penuh sayu. Aku cuma  diam, tak dapat berkata apa-apa.

“Mereka sudah tahu latarbelakang kehidupanmu, yang terlalu banyak hura-hura itu. Dan malangnya, tiada satu yang baik pun mereka dengar tentang dirimu…” sambungnya lagi, tak lama kemudian. Aku memang sudah benar-benar keputusan bicara.

Sesungguhnya, aku mendengarkan ucapan Ida itu seperti tusukkan belati yang tepat mengenai di jantungku. Aku beristigfar, dan tanpa senghaja terkeluar juga keluhan berat dari mulutku. Aku tidak ingin percaya segala apa yang baru saja kudengar. Aku tiba-tiba  merasa seperti sudah tidak berguna lagi. Aku merasa terhina. Dan benar-benar terpukul. Keadaan ini kurasa lebih dahsyat daripada ketika aku dengan rasa hiba terpaksa membebaskan isteriku yang tercinta, lebih setahun yang lalu. aku sesungguhnya benar-benar  kalut…

U jangan lupa, betapa aku juga menerima dugaan Allah ini bersamamu, malah kurasa, lebih hebat lagi” ujar Ida, membalas pengucapanku, memohon sedikit pengertian dariku. Aku akur sahaja.

“Kau anak pemberontak…” demikianlah yang selalu kudengar dari mulut-mulut yang merasa terancam dengan kehadiranku di sisi mereka. Kerananya aku merasa seolah-olah  terpaksa pula menagih simpati dari seorang gadis, kepada seorang gadis yang lain. Aku ingin supaya mereka turut mengerti jalan kehidupanku yang penuh onak dan duri. Di sekelilingku adalah api, yang siap untuk membakarku hangus. Dan akibatnya, kasih sayang yang dipupuk selalu saja berakhir dengan perpisahan, akibat dari sikap orangtua gadis-gadis tersayang yang enggan menerima kehadiranku. Dan yang terakhir kini, Ida.

Ida seperti sebuah sinar harapan baru yang di anugerahkan Illahi untukku. Dia berjaya membantuku bangkit dari kejatuhan yang maha dahsyat itu. Dari seorang yang hanya menunggu saat untuk mati, aku berubah jadi manusia bersemangat, yang ingin hidup seribu tahun lagi. Balasan apa lagi yang patut kuberikan pada Ida, selain dari sebuah cinta yang murni? Cinta yang bukan bersumberkan nafsu birahi. Sebuah cinta suci.

“Aku bukan orang baik-baik Ida, u perlu tau hal itu. Aku keluar rumah dulu sehelai sepinggang. Aku muflis sekarang. Dan kini aku sudah kehilangan segala-galanya. Aku tak punya satu apa…” kataku pada Ida disuatu petang. Dia cuma diam mendengarkannya, namun dengan penuh pengertian.

“Tapi, kita harus menuju ke depan sekarang, bukan kebelakang. Biarlah kejadian semalam menjadi pendorong untuk mencapai sinar bahagia. Aku percaya, u boleh bangkit berdiri dengan gagah kembali, kerana aku benar-benar yakin dengan keupayaanmu.” balasnya, bersahaja, namun cukup berwibawa.

“Dan, tidakkah jarak usia kita ini nanti akan mengganggumu?” pancingku dengan sebuah pertanyaan, nakal…

“Umur hanya angka, yang tak membawa erti apa-apa, u tau itu kan?” balasnya kemudian, dengan senyuman. “Yang penting, u dapat membuat perubahan diri di mana yang perlu, supaya kelihatan tetap kacak, seperti u di masa muda dulu…” sambungnya lagi, dengan senyuman yang tetap tersungging di bibirnya. Ida kelihatan amat menarik sekali, menyenangkan dan menghiburkan.

“Tapi, bagaimana pula dengan masa laluku Ida? Aku, orang yang memang sering membuat keributan di sana-sini. Ini menjadikan modal bagi musuh-musuh dalam selimutku, untuk mengutuk aku. Kes mahkamahku selangit. Penyeludupan. Memecahkan harta-benda kerajaan, mencuri, dan namaku termasuk dalam senarai orang-orang yang muflis…”  kataku dengan amat perlahan, seolah-olah tidak ingin didengari orang-orang berhampiran.

“Kan semua kes-kes tersebut sudah di NFA oleh pihak mahkamah? Jadi, tidak ada masaalah sebetulnya. Malah, kes-kes tersebut sudah terhapus dari fail pihak Polis sekarang. You are a free man…” jawabnya, agak panjang lebar. Aku mengkagumi pendapatnya itu, dan malah lebih mengasihinya sekarang. “Dan, tidak lama lagi u akan mendapat discharge kemuflisan u itu kan? Jadi, di mana soalnya sekarang? Tidak ada kan?” tambahnya lagi dengan pertanyaan demi pertanyaan. Dan aku sesungguhnya amat berterima kasih di atas sokongan yang diberikannya padaku. Dialah penawar resah dan gundah hatiku. Sesungguhnya, Ida adalah permata hatiku.

‘Bagiku, jika memang aku sudah tertarik pada seseorang, biarpun dia bekas banduan, akan kuterima dengan hati terbuka. Manusia memang selalu tersilap, dan kalau memang dia sudah insaf, maka kurasa tidak ada masaalah langsung untukku menyintainya…” kata Ida, menambah keyakinanku.

Ada orang berkata, antara benci dan cinta, batasnya cuma selapis angin… Dari mana kata-kata itu kukutip, aku sudah tidak ingat sekarang. Sudah terlalu banyak novel yang kubaca, membuat aku mudah lupa nama pengarang mana untuk novel yang mana. Namun, kebiasaanku untuk menghafal kata-kata indah dari novel-novel itu, tetap kulakukan hingga ke hari ini.

Hidup adalah perjuangan. Dan di dalam perjuangan itu, memang terdapat banyak cubaan yang mesti ditempuh. Namun demikian, tidak semua orang boleh jadi pejuang. Kerana itu, tidak semua orang akan boleh menang. Mottingo Busye???

Ancaman memang sering kuterima. Cemuhan dan sindirin adalah asam garam kehidupanku yang seperti kemestian datangnya. Keadaan ini membuat aku harus selalu siaga, menghadapi segala tohmahan yang datang menggila. Dan aku jadi seorang yang tebal rasa rendah diri. Aku pendendam, aku pemarah dan aku turut memberontak tehadap ketidak-adilan yang dihadiahkan kepadaku. Ketakutan adalah teman setia hidupku, yang dibekalkan orangtua ketika aku masih anak-anak. Aku masih terlalu kecil untuk mengerti apa itu letupan machine-gun ketika pemberontakan meletus. Ketika itu, aku baru berumur lebih sedikit tiga tahun, dan memang belum pun tahu apa erti penderitaan. Dan aku telah kehilangan ayah yang tercinta. Serta kehilangan sebuah nama…

“Tapi Ida, apakah adil jika aku dihukum tanpa ada peluang mempertahankan diriku? Aku ingin bersua muka dengan mereka yang mengutuk aku. Aku ingin mempertahankan diri. Jangan buat aku begini. Mengapa tidak ada seorang pun yang sudi membelaku? Benar-benar jahatkah aku?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulutku. “Dan, satu hal lagi, apakah mereka yang menghakimi aku itu memang benar-benar orang baik, yang tidak pernah membuat kesilapan apa-apa…? Kau pasti tahu jawabannya…” tambahku lagi, geram dan kesal.

Dan kenangan silam lalu membayang di mataku yang kini mudah berkaca. Sesungguhnya, usia sekecil itu, empat tahun, aku tidak tahu apa saja yang aku lakukan ketika melawat ayah di Pusat Tahanan. Pada suatu hari, sewaktu menghadiri undangan majlis perkahwinan, aku terserempak dengan seorang bekas Ketua Polis. Beliau datang menegurku mesra. Terasa susah untuk dipercaya, beliau terus memelukku. Aku terkejut sebetulnya, bila dalam usia akhir dua puluhan, masih ada orang yang sanggup memelukku, di- khalayak orang banyak. Sempatku terdengar beliau seperti berbisik, “Lai, kau sesungguhnya pembela ayah…” aku langsung tidak mengerti apa maksudnya.

Dan kata-kata itu sentiasa terdengar di telingaku. Memang aku kurang faham maksud ucapan beliau, sungguh. Entahlah, aku terasa seperti berada di dalam mimpi pula. Dipeluk oleh seorang bekas Ketua Polis di depan orang banyak…? Pengalaman yang sungguh bukan main.

Mama cuma tersenyum bila aku menceritakan hal tersebut padanya. Mengikut mama, akulah temannya melawat ayah di Pusat Tahanan. Aku memang masih terlalu kecil waktu itu.

“Dulu, orang yang kau maksudkan itu, adalah ketua SB yang menyiasat ayahmu. Dia pernah kau tengking sambil jarimu tepat kearahnya. Ulahmu itu  membuatnya menangis…” kata mama, cuba menghuraikan keadaan sebenar kejadian. Aku mendengarkannya, dengan terpingga-pingga. Kemudian, perlahan mama menambah penjelasannya, “dia juga memelukmu ketika itu, cuba memujuk kemarahanmu. Dan dia akan memelukmu bila-bila masa saja kita bertemu, sesudah itu.”

“Kenapa dia boleh sampai menangis mama?” soalku pantas, minta penjelasan lebih terperinci. Mama cuma tersenyum mendengar soalanku itu. Senyuman yang sentiasa terukir manis, walau aku tahu kenyataannya di dalam hati, dia adalah mama dan seorang isteri yang cukup menderita.

“Kau, apabila terserempak dengannya, mungkin kerana tahu bahawa dia adalah ketua penyiasat  di sana, terus menunjuknya, dan berteriak, hei Polis, lepaskan ayahku…!!!” Dan mama tersenyum lagi, mungkin berasa puas dengan penjelasannya tadi. Atau mungkin puas dan bahagia mengenang tindakkanku sewaktu kecil itu. Pembela ayah… Entahlah… Mengapa tidak ada orang yang mengajarku supaya takutkan polis waktu itu??? Pembela ayah… Taik kucing…!!!

Almarhum ayah bukan seorang  pejuang, mengikut pendapatku. Beliau bukan Ahmad Boestamam. Bukan juga Promoedaya Anantatoer. Bukan Anwar. Malah, almarhum ayah juga bukan seorang politikus. Di zaman mudanya, mengikut emak, dia cuma suka dansa. Suka bolasepak. Suka bulutangkis. Suka snooker. Namun aku pernah membencinya. Membenci keras-hatinya. Membenci prinsipnya. Bayangkan, bagaimana sukarnya hidup ini kerana membenci ayah kandung sendiri.

Mungkin kerana itu, aku tidak menitiskan airmata setitik pun apabila dia meninggal. Aku malah masih dapat menghadiahkan senyuman pada teman-teman yang datang ziarah takziah. Empat belas tahun di- Pusat Tahanan, aku cuma melawat beliau dua kali. Itu adalah bagi tempoh tahanan beliau yang kedua kali, setelah bebas kira-kira lapan tahun. Untuk penahanannya yang pertama, almarhum ayah, di- sumbat tiga tahun setengah, sewaktu pemberontakan.

Aku sering melihat wajah ibuku yang sepi ditinggal pergi. Dan aku pernah cuba memujuk ayah untuk sedikit mengalah. Namun kehampaan kubawa pulang, akibat dari sikap  ayah yang kuat berpegang pada prinsip. Prinsip yang membunuh. Prinsip yang menghancurkan. Prinsip yang menyakitkan.

“Kamu jangan khuatir, tanpa bersumpah-setia pun satu hari nanti ayah akan bebas dari Pusat Tahanan ini. Tidak ada satu kuasa pun yang dapat menahan ayah selama-lamanya di sini” demikian katanya dengan penuh yakin. “Kalau memang kamu malu pada perjuanganku, usah datang lagi kesini. Jaga saja ibu kamu…” tambahnya lagi kemudian, marah, merajuk atau pun sedih, hanya Allah yang tahu.

Dan memang sesudah itu, aku tak pernah ingin untuk menjenguknya di Pusat Tahanan lagi. Perasaan rindu terhadapnya kubunuh dan kuhumban jauh dari kamus hidupku.

“Ayah benar-benar ingin berjumpa kau” ujar sepupuku suatu hari dulu.

“Untuk apa?” jawabku singkat, dengan sebuah pertanyaan juga. Aku tidak senang dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi. “Aku  tidak punya masa untuk berjumpa ayahmu..” sambungku kemudian dan disambut oleh sepupuku, Ana, dengan muka merah padam.

“Cubalah satu saat nanti kau bercakap begini depan ayah, pasti dia akan marah..” katanya tak lama kemudian. Memang Ana tidak bersetuju dengan sikap kurang-ajarku.

“Marah?” aku bertanya dengan suara yang agak keras. “Ayahmu akan marah padaku?” tambahku lagi sinis. “Apa kau rasa ayahmu  memang punya hak untuk marah padaku?” lagi pertanyaanku datang bertalu-talu. Memang aku tau pertanyaanku agak sinis. Aku merasa jengkel terhadap ucapannya tadi. “Entah-entah, bila berjumpa nanti, ayahmu pula yang akan kutengking, bukan kau tidak tau akan sikapku, Ana…” tambahku lagi dengan perasaan agak geram.

Ana ingin bersuara, tapi, dengan tegas kuhentikan bicaranya. “Ana, dengar sini baik-baik” tambahku agak serius. “Inginku katakan di sini, kau boleh bicara apa saja yang kau mahu. Tapi ingat…” tambahku lagi, lebih serius. “Setiap apa yang kau bicarakan padaku, akan kusampaikan kepada KDN keesokkan harinya…” dan aku berhenti lama di sini, melihat reaksinya. Ana cuma diam. Aku tahu dia terkejut dengan kenyataanku.

“Aku tidak peduli kalau kau akan memanggil aku pengkhianat, itu hakmu. Aku memang pengkhianat, tapi, sekurang-kurangnya kau tahu siapa aku. Jadi, lebih baik kau diam dan jangan ceritakan padaku  apa-apa pun…” Memang Ana menjadi bertambah diam kemudian.

Aku memang marah dengan kedatangan Ana hampir setiap minggu, yang cuma ingin memberitahu betapa ayahnya ingin berjumpa aku. Indonesia bukannya dekat. Dan kalau memang ayahnya berhajat, mengapa harus aku yang pergi menyembah beliau?

“Kau percaya pada orang-orang KDN?” tanyanya singkat kemudian.

“Ya, aku merasa aman berkawan dengan mereka” singkat juga jawabanku.

“Tidak ada orang yang suka berkawan dengan mereka, kau tau?” tambahnya lagi dengan sebuah pertanyaan.

“Itu aku tidak peduli Ana.” balasku cepat. “Orang lain takut, mungkin kerana  mereka ada rasa bersalah, atau ada sesuatu yang perlu mereka rahsiakan. Dan aku tidak pernah takut pada mereka. Biar pun kadang-kadang aku merasa bebas bercakap di sana-sini, itu adalah kerana tanggung-jawabku sebagai rakyat Kebawah Duli” jelasku dengan agak terperinci.

“Rakyat Kebawah Duli katamu? Oii brother, ingat, icmu masih merah…” dia cuba mengingatkan aku, sambil senyum mengejek.

“Ana, biar pun aku cuma penduduk tetap, ic merah katamu, namun, aku tetap merasa bahawa aku orang Brunei, kerana inilah tanah tempat tumpah darahku..” balasku jengkel. Ana cuma diam.

“Almarhum ayah, selalu berpesan kepadaku, supaya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Kebawah Duli, biarpun waktu itu beliau sedang merengkok di Pusat Tahanan. Dapat kau huraikan mengapa?” tanyaku padanya sinis. Sekali lagi Ana tidak menjawab.

“Mengenai berkawan dengan orang-orang KDN tadi, untuk pengetahuanmu, aku sebenarnya senang bersama mereka. Aku tahu setiap butir bicaraku akan di kutip dan kemudian di laporkan ke pihak atasan. Aku tidak mahu bercakap di kedai-kedai kopi. Aku tidak mahu menulis melalui akhbar. Walau apa pun jua, kalau memang benar aku mengkritik tindak-tanduk kerajaan, itu adalah kerana aku tidak mahu jadi manusia munafik…” Ana tetap masih diam membisu. Suaminya juga kulihat sudah seperti duduk di atas bara api, gelisah.

Alhamdulillah, memang  sejak itu Ana tidak datang lagi mengganggu aku. Sesungguhnya aku tahu bahawa sikap dan kata-kataku terhadapnya kasar, dan kurang-ajar. Keperitan hidup telah mengajar aku erti pengkhianatan. Dan aku terdidik untuk menjadi si Jebat, yang membujur lalu melintang patah.

*******

Aku kini menjadi aku yang hidup seperti terancam. Ic merah yang kupegang sering membuat orang-orang di sekelilingku senyum sinis. Aku tersenarai di dalam sepuluh pelajar lelaki Melayu terbaik yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan satu, ke Singapura. Dan namaku kemudiannya di singkirkan kerana, ya, ic merah tersebut. Sebagai budak kecil, ketika itu aku hanya dapat menangis.

Sesungguhnya, keperitan itu tidak terhenti di sana sahaja. Ic merah serta ayah yang masih merengkok di Pusat Tahanan juga menghalang aku untuk memasuki kerjaya tentera. Sebagai kadet tentera terbaik, sebetulnya, jiwaku memang pada kerjaya mencabar itu. Teman-teman kadet yang junior kini ada yang sudah menjadi Leftenan Colonel. Sedang aku kini cuma seorang hamba Allah yang masih merangkak perlahan mencari sebuah kehidupan. Apa memang benar begitukah kehendak Tuhan?

Dan kehidupan tersebut, bagiku memang telah hancur sekarang. Biar pun kini sudah punya ic kuning sejak empat tahun yang lalu, namun kesan penderitaan semalam, masih tetap terasa. Kesengsaraan demi kesengsaraan tetap datang beruntun, bertali arus. Kadang-kadang keluar pertanyaan nakalku, “Allah, di mana keadilan-Mu?”

Dan kini, tiba-tiba rasanya aku ingin mati saja. Sungguh… Aku juga tidak dibenarkan menyintai anak gadis orang. Hina benarkah diriku ini?

Aku tau pasti yang cinta membara tidak cukup untuk untuk menjanjikan kebahagiaan berumah-tangga. Cinta tidak akan pernah dapat mengenyangkan perut manusia, yang sentiasa mahu di isi. Cinta pada setengah orang adalah sesuatu yang mengasyikkan. Cinta itu tawa. Dan cinta itu juga tangis. Memang cinta itu selalu saja penuh dengan penderitaan. Namun, setiap saat, ada saja manusia yang sedia untuk jatuh cinta dan menjadi hamba kepada cinta. Aku seorang daripadanya.

Yusuf dan Zulaikha juga menderita pada awalnya. Begitu juga Khais dan Laila. Lalu, Shah Jahan, bagaimana pula? Apa yang ada di sebalik pembinaan Taj Mahalnya?

Berbicara tentang cinta, memang tidak akan pernah habis kalau kita cuma punya masa tujuh hari tujuh malam. Manusia yang berbagai ragam, dan berbagai ragam jugalah kisah cinta yang pernah dialami setiap orang.

“Tanggung-jawabku terhadap keluarga amat besar. Aku terpaksa menanggung mereka, ibu dan seorang adik yang masih lagi bersekolah. Dan aku tidak sanggup menanggung suami…” ujarnya serius pada satu ketika dulu. Aku cuma tersenyum mendengarkannya.

“Untuk pengetahuanmu Ida, sesungguhnya, aku juga bukanlah jenis laki-laki yang suka bergantung di ketiak isteri. Biar aku tidak bekerja, dan cuma berniaga secara kecil-kecilan, namun aku akan tetap menanggung keperluan isteri, malah kalau perlu, keluargamu juga…” jawabku, penuh keikhlasan.

“Buktikan nanti…” pintanya nakal, sambil tersenyum.  “Jangan hanya manis di bibir saja…” sambungnya kemudian.

Memang akan kubuktikan nilai cintaku. Dan memang aku tahu, bahawa sesungguhnya, cinta itu memerlukan pengorbanan. Dan aku juga tahu, kalau-kalau antara benci dan cinta itu, batasnya cuma selapis angin. Selapis angin…

Bayangan wajah ayah tiba-tiba terbayang di mata. Empat-belas tahun sudah lamanya ayah meninggalkan kami semua, meninggalkan penderitaannya. Memang benar katanya dulu, bahawa tidak ada satu kuasa pun yang akan dapat menahannya di Pusat Tahanan itu untuk selama-lamanya. Ayah cukup yakin dan percaya bahawa tanpa bersumpah-setia pun dia akan bebas dari sana. Memang benar pun apa yang dikatakannya. Ayah bebas juga akhirnya dan merasa menang dengan prinsip yang di perjuangkannya. Dia bebas, walau dalam keadaan kain kafan membalut sekujur tubuhnya.

Kini, aku tetap menangisi kepergiannya, biar pun sudah berbelas-belas tahun lamanya sejak kematian itu. Dan lagu Ayah dendangan Broery menjadi sebati dengan kehidupanku. Oh, ayah… aku merasa amat rindu padamu kini.

“Jaga adik beradikmu Idham…” wasiat terakhirnya di pembaringan hospital sebelum koma. Dan aku menyanggupinya.

Selamat jalan ayah. Semoga kau ketemukan kebahagiaan di sana, seperti yang dijanjikan Nya, amin…

Iman. Cuma Selapis Angin

Camar Putih

Camar Putih

Sejak pagi tadi kepalanya terasa amat berat sekali. Sakit. Seperti hendak pecah. Rokok dihisapnya hampir tidak berhenti-henti. Tak ubah serombong kapal. Berasap terus. Namun narkotina tersebut tidak banyak membantunya kali ini. Fikirannya kacau-bilau. Buntu. Bengang. Fikirannya tetap pada perbicaraan mereka tadi. Bukan perbicaraan sebetulnya. Ianya malah adalah seperti sebuah perbahasan. Perbenturan pendapat. Tiba-tiba saja dia merasa dirinya dikhianati. Langsung tidak ada sokongan dari temannya itu.  Memang tidak dapat diharap, gerutunya geram di dalam hati.

.

“Jadi, perlakuan mereka berdua itu tidak dapat diambil tindakkan apa-apa?!” Tanyanya dengan agak kesal.

“Ya, kenyataannya, begitulah” jawab suara di seberang pesawat sana, pendek.

“Tak kan tidak ada langsung peruntukkan undang-undang untuk mensabitkan kesalahan mereka Yus” tambahnya lagi, agak kesal.

“Soalnya, ini kes besar Zack, bukan boleh dibuat main”.

“Kerana itulah aku meminta pendapatmu Yus, kau arif benar dengan kes-kes sebegini” jelasnya meminta sedikit pengertian.

“Aku juga ingin menolongmu Zack, percayalah. Tapi, kita mempunyai landasan undang-undang yang wajib dipatuhi”

“Aku tahu itu. Dan bukanlah maksudku untuk memintamu membelakangkan undang-undang tersebut. Kuharap kau mengerti Yus”

“Aku mengerti Zack. Memang sangat mengerti” balas Yusri dengan ketawa lirihnya. “Yang sebaiknya, kau pindahlah mereka berdua ke bahagian berasingan, supaya kejadian memalukan itu tidak mungkin berulang lagi”.

“Jadi, mereka tidak dapat dituduh berzina, walaupun perbuatan tersebut disaksikan oleh salah seorang pegawai perempuan kami, begitu?” Tanya Zaki, meminta kepastian.

“Ya, kira-kira begitulah Zack. Pasangan tersebut hanya dapat disabitkan berzina di dalam mahkamah Syariah, apabila ada empat saksi yang menyaksikan barang si lelaki itu masuk ke dalam anu si perempuan. Empat saksi lelaki yang balikh, waras dan adil. Simple”. Lagi kedengaran ketawa kecil Yusri di seberang sana. Zaki semakin jengkel.

“Lagi pula, kalau mengikut katamu tadi, pegawai perempuan tersebut terserempak mereka pada saat si lelaki sedang khusyuk menjilati anu pasangannya. Itu oral sex namanya, belum dapat lagi dikategorikan sebagai zina Zack” tambah Yusri  kemudian.

“Ya” jawab Zaki pendek, mengiakan kata-kata Yusri. “Tapi, jika mereka tidak terkejut, pasti perbuatan mereka akan berakhir dengan zina” tambahnya bersemangat.

“Kemungkinannya begitulah. Atau berkemungkinan juga mereka cuma ringan-ringan saja…” jawab Yusri selamba. “Tapi, seperti yang kukatakan awal-awal tadi, tidak ada peruntukkan undang-undang untuk menuntut mereka di mahkamah, kerana ketidak-cukupan saksi seperti yang kumaksudkan”.

“Rasanya seperti tidak adil pula hukum syariah kita itu…” kata Zaki perlahan, seolah-olah tidak mahu didengari Yusri.

“Awas sedikit mulut itu bro. Takut-takut nanti, tergelincir pula akidah kita akibatnya”. Tegur Yusri, jujur. Zaki cuma diam. Terasa cukup lama diamnya itu pada perasaan Yusri.

“Zack, you still there?” Sapa Yusri mesra.

Yup, I’m here…” balas Zaki pendek. Kedengaran seperti kurang bersemangat.

“Si lelaki itu sudah kau panggil?”

“Sudah pagi tadi.”

“Yang perempuannya? Tanya Yusri pantas.

“Inilah yang merungsingkan aku Yus. Dia belum muncul lagi” jawabnya kurang bernafsu. “She should be here half an hour ago…” tambahnya lagi kemudian.

“Kau tidak cuba untuk menghubungi mobilenya Zack?” saran Yusri spontan. “By the way, kalau you ada nombor hand-phonenya, pass to me, ok?” sambungnya lagi dengan hilai ketawa.

“Hah! Dah mulalah tu…” balas Zaki pantas sambil turut ketawa. Sebuah ketawa yang cukup mengasyikkan. Terubat juga sedikit rasa sakit kepala Zaki dengan lelucon Yusri itu.

.

Ok, lets be serious now, Zack,” ujar Yusri perlahan memecah kebuntuan. “Let us look at the bigger picture now” sambungnya lagi tidak lama kemudian.

“Maksudmu?” Spontan Zaki bertanya. Memang dia kurang mengerti maksud bigger picture yang diucapkan Yusri sebentar tadi.

“Tadi kau menyatakan keherananmu bagaimana kejadian memalukan itu bisa berlaku. Sangat mengherankan katamu, memandangkan si lelaki itu sudah pun beristeri dan berumur pula. Berapa umurnya katamu tadi? Lima puluh?

“Ya.”

“Dan perempuan tersebut masih bujang dan baru berumur dalam lingkungan dua puluh lapan, begitu?

“Ya, begitulah kira-kira.”

This is the trend sekarang Zack. Banyak anak gadis ketika ini lebih suka berhubungan dengan suami orang. Dan tidak sedikit dari lelaki-lelaki tersebut adalah dari golongan mereka yang sudah berumur lanjut.

“Itulah yang aku kurang mengerti Yus.”

“Gadis-gadis tadi mahukan security.”

Security apa namanya nanti jika perhubungan mereka dapat dihidu isteri lelaki itu? Tell me Yus.”

“Ya lah. Security dalam maksud punya wang.”

“Punya wang? Bukankah mereka sendiri punya pekerjaan tetap dan agak terjamin hidup mereka?”

You are naïve Zack. Very naïve indeed” pintas Yusri spontan. Zaki hanya diam, tanpa memberi komentar apa-apa.

“Lelaki-lelaki berumur sebegitu pada kebiasaannya, how could I put it… hmmm… has a bigger purchasing power and maybe a bit stupid. Who knows?”

Come-on Yus, who is the stupid one here? Definitely it’s the girl my friend…” pintas Zaki bersemangat.

You don’t get the real picture here Zack” pintas Yusri cepat. ”What I’m trying to say here is most of the times, the girl would definitely succeceded in making the older man to be their sugar daddies, who would buy them everything.”

“Maksudmu?”

Well, ada sesetengah lelaki bodoh yang sanggup membelikan gadis-gadis itu kereta idaman mereka”

“Sampai begitu sekali?” Tanya Zaki terpinga-pingga.

“Kalau tidak begitu, kau rasa bagaimana sesetengah gadis di sekeliling kita yang masih bujang dapat hidup dalam kemewahan Zack?”

I don’t get you Yus…”

“Cuba kau perhatikan jenis kereta apa yang mereka pandu. Kemudian selidiki berapa buah kereta yang mereka miliki. Jenis pakaian mereka yang kadang-kadang layaknya seperti seorang puteri. Kekerapan mereka keluar negeri. Perhatikan juga apa model hp mereka, dan berapa kerap mereka menukarnya. And the list goes on and on my friend…”

.

“Entahlah Yus, aku kurang arif dalam hal ini. Mungkin kerana aku kurang memberi perhatian pada hal-hal sebegini” kata Zaki dengan nada perlahan, seolah-olah mengalah.

“Aku tak heran bila kau berkata begitu Zack” balas Yusri kemudian pantas. Sebagai seorang peguam Syarie, skandal-skandal sebegini sudah seperti menjadi sarapan pagiku. Setiap hari ada-ada saja kes baru yang kuterima. Kenyataannya, ramai dari kita akan merasa terkejut jika statistik tidak rasmi sebuah NGO mengeluarkan perangkaan bahawa secara purata di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama kita cintai ini, lahir seorang anak luar nikah setiap hari.”

“Ya? Amat mengejutkan sekali perangkaan itu Yus…”

“Memang ya, Zack…, malah, saban minggu di Bandar Miri banyak perempuan-perempuan kita yang menggugurkan anak. Dan tidak sedikit dari perempuan-perempuan itu masih berstatus pelajar…”

“Astaghafirullah hil alli yul aaziiim…”

“Yup. Kita memang perlu beristigfar banyak-banyak kawan…” balas Yusri pendek.

“Sukar untuk dipercaya Yus…”

“Memang. Tapi itulah kenyaaannya Zack. Satu hal yang mungkin tidak akan masuk di akalmu ialah betapa kini sudah terdapat di instiutusi tinggi kita kecenderungan pensyarah untuk meminta imbalan habuan sex dari seseorang siswi bagi mempastikan siswi tadi mendapat pangkat A di dalam peperiksaan.”

“Ah! Masa…?” pintas Zaki spontan seakan-akan dengan sebuah pertanyaan. Sesungguhnya dia sama-sekali tidak menduga hal sedemikian bebas berlaku di negara yang mengagungkan nilai-nilai  agama Islam yang murni itu. “Di manakah sebetulnya kini terletaknya ideologi MIB kita, Yus?”

“Pokok pangkalnya, MIB kita tetap di situ di situ juga kawan. MIB cara kita…” jawab singkat Yusri diiringi hilai ketawanya. Zaki turut tertawa kecil, walau di lubuk hatinya dia merasa komentar Yusri sebentar tadi tidak lucu.

.

Fikiran Zaki melayang jauh cuba mencari kebenaran kata-kata sahabatnya Yusri sebentar tadi. Dia memang sering mendengar lelucon teman-temannya tentang keperibadian sebahagian gadis-gadis Brunei, yang menurut mereka nampak elok bertudung lingkup tidak lepas di kepala, sedang yang di bawah luas terngangga. Maksud lain: ada di antara mereka yang amat mudah untuk diajak bermain cinta. Zaki sesungguhnya tidak dapat mempastikan  akan kebenaran kenyataan teman-temannya itu.

.

Tiba-tiba muncul kalibat seorang teman yang baru dikenalinya, Pengiran Metassan, seorang penulis yang mula bertapak. Berwajah tampan dan mempunyai potongan badan seperti atlit. Kalibatnya muncul apabila Yusri menyebut tentang MIB sebentar tadi. Tentang nilai-nilai murni agama Islam yang pada sebahagian orang entah  sudah dicampakkan ke mana.

“Aku kalau bersenggama dengan isteri, jika tidak membayangkan seorang gadis lain, barangku tidak akan berfungsi. Bagaimana hukumnya Zack?”

“Astaghafirullah Pengiran. Haram hukumnya membayangkan seorang perempuan lain ketika mengauli isteri.” Singkat jawab Zaki, terkejut dengan kenyataan terus-terang Pengiran Metassan tadi. “Kalau melihat seorang perempuan yang bukan muhrim, itu zina mata namanya. Jika memegang perempuan tersebut, itu namanya zina tangan. Dan membayangkan seorang perempuan yang lain ketika menggauli isteri, itu zina hati namanya Pengiran.” Ujar Zaki kemudian dengan ikhlas.

“Soalnya, aku tidak terangsang jika tidak berbuat seperti itu Zack” balas Pengiran Metassan pantas, seolah-olah memohon supaya Zaki menghalalkan perbuatannya.

“Maaf Pengiran. Apapun alasannya, haram tetap haram. Bertaubatlah…”  singkat keluar jawapan dari mulut Zaki mematikan perbicaraan.

Tiba-tiba tersungging sebuah senyuman dari bibir zaki mengenang si penulis tadi. Tapi, yang membuat Zaki tersenyum bukanlah kerana si Pengiran tersebut seorang penulis. Lebih dari itu, sebetulnya beliau adalah seorang ahli takhmir masjid Kampong Bunut yang memang dihormati sebahagiaan jemaah. Itulah, benar kata Yusri, MIB cara kita…

.

“Seperkara lagi Zack, skandal-skandal seks sebegini bukan hanya dilakukan oleh gadis-gadis yang masih bujang, malah kini telah turut menular di kalangan perempuan yang sudah bersuami.” Sambung Yusri kemudian mematikan lamunan Zaki pada ahli takhmir masjid yang tampan dan berbadan atlit tadi.

“Ermmm…”

“Ini bukan fitnah Zack… Di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta hal-hal sebegitu bukanlah sesuatu yang asing lagi sekarang. Bilik-bilik stor umpamanya  banyak menyimpan rahsia yang hanya diketahui pihak-pihak tertentu. Kadang-kadang bukan hanya bilik-bilik stor digunakan mereka malah bilik-bilik tandas juga. Tidak kurang pula bilik-bilik bos yang penghuninya beruntung mempunyai pekerja-pekerja perempuan yang tidak cukup makan di rumah…” Zaki sudah benar-benar bungkam.

.

“Sebetulnya Zack, hal sebegini jika ingin dihuraikan keseluruhannya, dua hari dua malam pun tidak akan selesai. Jadi pesanku, sebagai sahabat, kau berhati-hatilah menghadapi karenah pegawai-pegawai bawahanmu. Kau dengar kata-kataku Zack? Tanya Yusri kemudian apabila menyedari sahabatnya Zaki cuma mendiamkan diri mendengar celotehannya.

“Ya, aku dengar kau Yus. Jelas sekali…” jawab Zaki singkat, hampir bersamaan dengan bunyi intercom di atas meja di depannya.

“Tuan, Farah sudah ada di sini. Benarkan dia masuk sekarang?”

“Beri saya dua minit. Thanks Lin…” jawabnya pendek kepada Haslina, kerani sulitnya. “Ok Yus, dia dah sampai, so, aku nak selesaikan masaalahnya ini dulu. Thanks for all  your advice. Ciao!”

No problem buddy. You are always welcome. Tapi ingat, barang siapa yang suka menabur angin, satu saat pasti akan menuai badai. Percayalah itu. Adios!”

.

Zaki sempat merapikan mejanya seadanya sebelum kepala Farah tersembul di sebalik daun pintu biliknya. Zaki memasang muka selamba sambil mengarahkannya duduk di sofa di sudut ruang yang dikhaskan bagi tetamu. Lumayan cantik juga ini anak, bisiknya di dalam hati. Kulit bersih kuning langsat, hidung mancung dan berlesung pipit pula. Oh! Aduhai “love chin”nya itu…

Awak sepatutnya datang berjumpa saya setengah jam yang lalu. Mengapa lambat? Tanya Zaki dengan suara yang sedikit dikeraskan.

“Maaf tuan, tengahari tadi sepupu emak saya meninggal di KB. Jadi, ayah terpaksa menggunakan kereta saya untuk pergi ke sana. Mereka terpaksa mengemas barang-barang yang perlu kerana akan tidur di KB selama dua malam. Sekali lagi maafkan saya…” jawab Farah perlahan. Oh! Sungguh merdu sekali suaranya…

“Inna lillahi wa inna ilahi rajie’uun… Its ok” balas Zaki singkat, sambil matanya melirik rambut perangnya yang tersisir rapi. “Saya tidak akan berbasa-basi dengan awak. You should know why you are here. Dan saya sudah mengambil keputusan untuk memindahkan awak ke unit kita di Tutong bermula minggu depan.”

-         Hai, janganlah begitu keras Zack… Cuba kau tengok ke bawah sedikit. Kan nampak pehanya yang putih dan gebu di celah belahan kainnya itu? Tengoklah… Sayang kalau keindahan ciptaan Tuhan  itu tidak kau nikmati Zack…

.

“Tolonglah tuan. Hukumlah saya dengan satu hukuman yang lain, tapi bukan dengan memindahkan saya ke daerah lain. Setiap hari saya menghantar dan mengambil adik-adik saya setiap hari pergi dan pulang dari sekolah. Ayah saya sudah terlalu tua untuk melakukan tanggung-jawab itu. Tolonglah tuan. Saya rela menjalani hukuman yang lain. Please…” rayu Farah mengharapkan pengertian Zaki. Duduknya mula agak gusar sehingga tanpa disedari belahan kain di bahagian pehanya semakin terselak.

-         Zack! Perhatikan itu… Wow! Gebu dan mulus sekali pehanya…Ini baru namanya perempuan sejati Zack. Perhatikan baik-baik Zack: Dadanya yang bidang dan subur, punggung mengkal dan mengiurkan, pinggang sempurna secekak, bibir mongel yang sentiasa membasah, lenggok manjanya beralun penuh erotik dan suaranya yang merdu mendayu merayu. Tidakkah teringin kau merasai sentuhan-sentuhannya yang, aduhai… Zack?

Zaki terdiam. Agak lama diamnya kali ini. Tiba-tiba dia merasa serba-salah. Tidak tahu harus berbuat apa. Sedang syaitan di kepalanya seperti berpesta menggodanya…

-         Kasihanilah anak manis ini Zack. Dia memerlukan sedikit pengertian darimu. Dosanya tidak sebesar mana untuk menerima hukuman beratmu itu. Ya, sekurang-kurangnya dosa mereka tidak melibatkan apalagi merugikan orang lain. Kau tahu kan, betapa perasaan cinta itu selalu saja berhasil membuat manusia menjadi nanar?

.

Zaki mendengus. Tiba-tiba saja timbul rasa hibanya terhadap Farah yang pada pandangannya sudah nampak seperti anak arnab yang sungguh jinak, mulus dan manja sekali. Benar juga kata syaitan di kepalanya itu. Segala yang terjadi semalam sebetulnya adalah dosa antara dua orang yang saling menyinta, tanpa melibatkan orang lain. Hei! Tunggu dulu. Bagaimana pula dengan isteri dan anak-anak lelaki pasangan Farah? Tidakkah dia turut berdosa kepada mereka semua? Dan tiba-tiba lamunannya terganggu oleh bunyi dering telefon bimbit Farah yang terdengar dari dalam tas tangannya. Pandangan Zaki beralih tepat ke wajah gadis yang tiba-tiba sudah menjadi serba-salah itu. “Jawablah” singkat arahannya.

Farah cuma berbicara sebentar dengan temannya. Biar pun suaranya dikecilkan, namun butir-butir perbicaraan mereka tertangkap juga oleh Zaki. Ternyata teman Farah yang sudah berjanji untuk membawanya pulang petang itu tidak dapat menunaikannya. Overtime… Dan Farah kelihatan cemberut.

.

Zaki cuba untuk tidak turut memikirkan masaalah Farah itu. Dalam hatinya dia berkata, biarlah Farah menyelesaikannya sendiri. Di fikirannya cuma cuba untuk memikirkan cara bagi menyelesaikan masaalah utama. Tindakkan sebagaimanakah yang terbaik bagi mempastikan kejadian memalukan mereka semalam supaya tidak berulang. Dan mata Zaki kemudian untuk kesekian kalinya mengintai peha gebu Farah di celah belahan kainnya. Tubuh budak ini pasti kelihatan indah jika tidak ada seurat benang pun di badannya…

“Maaf jika saya mengganggu konsentrasi Tuan. Jam sebegini, saya tidak tahu teman mana yang dapat saya hubungi untuk menumpangkan saya pulang. Sekarang sudah jam empat setengah…” manja sekali kedengarannya suara Farah di telinga Zaki. Dan dia cukup faham apa erti pengucapan Farah sebentar tadi.

You berani naik kereta saya bersama-sama nanti?” Zaki cuba menduga. Dan dugaan itu disambut Farah dengan senyuman tersungging di bibirnya.

“Sebaiknya saya tunggu Tuan di Yayasan nanti. Saya akan menunggu sms Tuan…” perlahan ucap Farah dengan senyum penuh bermakna.

.

Zaki mencapai telefon bimbitnya dan mula menekan nombor telefon bimbit isterinya. “Yang, abang perlu ke lokasi penggambaran sekarang. Mungkin akan terus di sana hingga penggambaran selesai. Mungkin esok sekitar jam sepuluh baru abang pulang. Hugs and kisses for you and the kids. Chuups…!”

-         YESSS!!! Zaki… Itu baru jantan namanya…

.

Isteri Zaki, Syaza tidak membantah. Di kepalanya kini terbayang wajah Mr. Ho dan kehangatan pelukannya.

Jika Kau Secantik Winona Ryder, Kau Boleh Buat Apa Saja.

Karikaturku oleh Don

Karikaturku oleh Don

Kita memang tak perlu menunggu

Tarikh keramat 6 Disember itu

Kerana verdictmu sudah pun kutahu…

.

Kerana dia seorang Winona Ryder

Cantik dan punya nama

Lakukanlah apa saja…

.

Perampokan barangan berjenama USD5,500.00 nilainya

Bagi Winona cukup untuk membuat kerja-kerja kebajikan saja

Penjara Amerika terlalu kotor buat manusia sepertinya…

.

Bayangkan seorang lain melakukan perampokan yang sama

Berkulit hitam, si kulit putih yang miskin atau hispanic

Gunjingan dan hinaan menemani mereka menuju jalan ke neraka…!

.

Perundangan dan keadilan gaya Amerika

Demokrasi terpimpin hanya untuk orang-orang terpilih…

Dan kita cuma ada suara yang tak mungkin akan didengar mereka…

.

Dan di luar ada pengeboman di sana sini

Letupan peluru mortar dari kereta-kereta kebal Yahudi

Membedil anak-anak kecil Palestin yang cuma bersenjatakan batu

Dan seluroh Rumah Putih belasungkawa diam membeku…

.

.

Telanai, 3.03 pagi, 16 November 2002

Kalau Boleh Kuundurkan Waktu

Sheikh Mahmud dengan 3 putera, Sheikh Mohammad, Sheikh Azahari & Jeneral Sheikh Osman

Sheikh Mahmud dengan 3 putera, Sheikh Mohammad, Sheikh Azahari & Jeneral Sheikh Osman

(Buat ayah yang tumpas di Pusat Tahanan

Serta anak-cucu yang pasrah ditinggalkan)

.

.

Malam itu kulihat ibuku

Tenang sekali mencuci kamar mandi

Subuh sudah semakin hampir menyapa

Sedang aku cuma berbaring mendakap ayah.

.

Janji Azali tepat dan pasti:

Seminit tak berkurang…

Seminit tak bertambah…

Seminit yang gundah…

.

Dia yang kudakap mesra

Terdiam cuma, tanpa suara…

.

Dia yang kudakap hiba

Terdiam cuma, tanpa suara…

.

Dia yang kudakap rindu

Tanpa suara, tanpa emosi

Mengundang seribu damai di hati

Dan sejuta syukur:

Ayah akhirnya bebas kini…

.

Jerjak-jerjak besi pemisah

14 Raya tak mencium tangan Ayah…!

.

Di ruangan sepi, tenang dan muram

Sedap terdengar suara membaca surah

Abang, kakak dan adik yang pasrah

Serta harum setanggi memenuhi suasana

Mengimbau kenangan pada kata-kata terakhirnya

Di subuh hening itu

Berteman ibu tua yang setia menunggu:

“Jaga adik beradikmu, nak…”

Singkat wasiatnya sebelum koma

Diiringi surah Ad-Duha yang tak lepas di bibirnya

Sedang mereka tentu sekali gundah tidurnya

Dan di kejauhan bilal bilang “Assalatu khairuum minan nauum…”

Tilam empuk namun tak tertinggalkan lagi.

.

Sesungguhnya…

Kalau boleh kuundurkan waktu

Akan kukejutkan semua kamu

Biar turut mendengar wasiat Ayah

Jangan cuma aku…

Dan tambah Ayah lagi:

“Jangan adakan majlis doa arwah

Aku tak izin orang baca Quran di pusara…”

.

Dan aku tersenyum pada sebuah kematian

Pahit memang, namun ia telah dijanjikan

Pesan Ayah supaya tidak ada tangisan

Perginya menghadap Tuhan, Allahu rabbi

Perjalanan ke sebuah kehidupan abadi…

Janji Azali…

Yang memang dinanti…

.

Namun…

Kalau boleh kuundurkan waktu

Tak akan kurelakan ibu tua mencuci kamar mandi itu

Biarpun Ayah pasti mengerti

Keinginan isteri mithali mengabdi hingga ke mati

Cinta kasih pada suami yang tidak berbelah bagi

Biar 14 tahun bertemankan sepi

Malam terakhir Ayah menghuni dunia

Senyumannya berbunga, menghadapi Tuhannya…

.

Dan di dalam liang lahad itu:

Sudah pasti ada bidadari menunggu

Bidadari itu, pasti ibu tua, ibuku…

.

.

Telanai, 8 Mac 2001

Inilah kita Sebenarnya. Dulu Dan Sekarang Ceritanya Sama

First Intenational Poetry Gathering, Medan 2007

First Intenational Poetry Gathering, Medan 2007

Jika setuju mengapa menggeleng?

Takutkah atau malu sebetulnya?

Ketidak-pastian?

Kepura-puraan?

Atau saja ingin menjaga hati?

.

Kalau enggan mengapa mengangguk?

Takut periuk nasi tertumpah?

Demi persahabatan?

Demi kesetiaan?

Atau sememangnya sifat baculmu?

.

Kitakah Hydra?

Dewi suci

Satu badan enam kepala

Personaliti berbagai

Dua dalam satu…

Satu dalam seribu…

Seperti tercatit di metos Yunani purba itu…

.

Kita terlalu gemar berdolak-dalik:

-         Pahalakah itu?

Tidak ingin berterus-terang:

-         Pahalakah itu?

Menidakkan kebenaran:

-         Pahalakah itu?

Dan menentang kebathilan kini sudah menjadi dosa…

.

.


Telanai, Januari 2003

Abortions


.

.

.

.

.

.

.

Sarwajagat sudah kebanyakan manusia

Anak-anak mula diajar jadi algojo

Tamadun era modenisma

Senggama tanpa sertifikat

Mani + telur – condom = Janin

Jantan 16 + betina 15 = just for fun

Grand total: an abortions!

.

Di negara matahari terbit itu

Ada pesta pembunuhan

46,511 pada 2001

44, 477 sebelumnya

And it is legalised:

  1. 1. For the minors
  2. To kill for love

.

Maka:

Jika hari ini anak dari benih sendiri

Besok, nyawa kita adakah nilainya?

Dalam hidup yang semakin payah

Membunuh dibunuh nampak aturan mainnya.

.

Namun, kecut hatiku turut mendengarkan:

Siswi kita yang bicara tentang pregnancy test

Miri yang semakin mendekat

You need to have only RM2000

Untuk menjadi Algojo itu!

.

.

Weekend, ms 16, 10 Ogos 02


Aku Sudah Terlalu Kewalahan, Ma

Aku sudah terlalu kewalahan, Ma

Terlalu kewalahan…

Kewalahan…

.

Janjiku lebih tiga tahun yang lalu

Pasti tidak akan bisa tertunaikan

Maafkan aku, Ma

Aku sudah kewalahan…

.

Sungguh Ma, aku sudah jenuh mencuba

Jenuh mencari

Dan aku kewalahan, Ma…

.

Wawa bukan tidak baik, Ma

Terlalu baik malah

Tetap setia menanti aku

Pada cintanya bertahun-tahun dulu

Enggan bertemu muka denganmu, Ma

Kutinggalkan ia kerana takut kau tak berteman…

.

Sedang Zaza masih terlalu kecil, Ma

Belum matang, mahunya cuma pesta

Dan  di usia ini, aku penat mengikut rentak tarinya, Ma

Dan khusukmu pasti terganggu nyaring bunyi alunan musiknya…

.

Dan Yuri, pelukkannya melemaskan aku, Ma

17 tahun menghuni sangkar emas itu dan mengecap udara bebas kini

Aku tak ingin pindah ke sangkar yang lain

Biar bersalut intan permata. Maafkan aku, Ma

Aku takut kehilanganmu sekali lagi…

.

Yuana meremang bulu romaku, Ma

Kinky dan nafsunya terlalu menggebu

Gunung di dadanya, aku malu melihatnya, Ma

Aku takut kalau besok ia bukan milikku seorang…

.

Atiq pasti akan mengasihimu, Ma

Beragama ciri pilihan almarhum Ayah

Kecil molek, manis dan murah senyumnya

Sebahagian hati ini sudah padanya

Cuma hatinya tidak padaku

Dan aku tak akan mengharap pada yang tak mungkin, Ma

Kerana hati budi ini memang sudah kau kenal benar…

.

Ressa sudah terlalu menjauh, Ma

Bukan anak kelinci jinak yang dapat kubelai lagi

Sudah punya kepak gagak dan cakaran kukunya mematikan

Dan aku merasa kerdil di sampingnya, Ma

Biarpun kutahu sayangmu tertumpah padanya…

.

Maka hari ini aku hanya menumpang kasih pada Rina, Ma

Jururawat budiman yang prihatin padaku, pengubat jiwa nan lara

Sembilan bulan bersama, kami belumpun pernah sekali bersua muka, Ma

Dekat tapi jauh. Embun dinihari yang menghilang disapa senyum mentari

21 umurnya, Ma. Manja. Mempesona

Dan aku mengintai ke dalam syurga oleh budinya ini, Ma

Tak kan terlupakan sampai saat aku menutup mata…

.

Aku sudah kewalahan, Ma

Pencarian yang tak berpenghujung, biar sampai ke hujung dunia

Biar mereka jadi gadis-gadis waktu silamku

Aku sudah kewalahan, Ma

Kenakalan anak-anak tercinta, syukur menghibur hatiku

Maafkan aku…

Aku tak yakin dapat memberimu pengganti bekas isteriku…

.

Maafkan aku, Ma

Kalau hingga saat ini sudah kewalahan mencari

Suatu masa ia kan datang sendiri, Ma

Bukankah jodoh pertemuan itu hak Tuhan, Allah Azza Wajalla?

Ya kan Ma…?

.

.

Telanai, 20 Mac, 2004